Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah Najib Razak yang dituduh terlibat dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Ketiga-tiga hakim juga sependapat untuk mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri tersebut.
Panel tiga hakim itu dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan terdahulu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.
Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.
Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.