Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abang Johari beralih dari kerusi diwakili sejak 40 tahun lalu
Diterbitkan:  Dec 3, 2021 9:10 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

PRN SARAWAK | Selepas 40 tahun, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg, akan 'bertukar angin' dengan bertanding di kawasan baru pada 18 Dis ini.

Abang Johari merupakan penyandang kerusi DUN Satok dan pada PRN lalu - yang diadakan pada 2016 - dia memperoleh 79 peratus daripada undi yang ada di kawasan tersebut.

Dalam PRN kali ini presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu akan bertanding di Gedong yang merupakan kawasan luar bandar dengan jumlah pengundi yang jauh lebih kecil namun memiliki kadar peratusan pemilih bumiputera yang tinggi.

Menurut Institut ISEAS-Yusof Ishak, 62 peratus daripada pengundi Gedong terdiri daripada masyarakat Melayu/Melanau, manakala 37 peratus lagi adalah bumiputera bukan Islam.

Baki 1 peratus lagi ialah pengundi Cina.

Sebaliknya di Satok - sebuah kawasan bandar di bawah Petra Jaya - 70 peratus pengundi adalah Melayu/Melanau, 22 peratus Cina dan 7 peratus lagi bumiputera bukan Islam.

Dalam PRN Sarawak yang diadakan pada 2011, undi diterima Abang Johari menurun kepada 71.27 peratus namun meningkat menjadi 79.12 peratus lima tahun kemudian.

Untuk rekod sokongan pengundi ketika itu sangat tingi dengan dengan dipengaruhi oleh Ketua Menteri Adenan Satem.

Apabila Adenan meninggal dunia setahun kemudian, Abang Johari dilantik menjadi penggantinya.

Pemerhati berpendapat PRN tahun ini menjadi peluang untuk Abang Johari membuktikan bahawa dia memang layak menjadi ketua menteri dengan mengetuai GPS mendapatkan mandat daripada rakyat Sarawak.

Sementara itu Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak, Tiong King Sing, akan bertanding di kerusi Dudong yang terletak di bawah kawasan parlimen Sibu. Dia akan berdepan dengan cabaran daripada calon DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Kerusi tersebut terletak kirak-kira empat jam memandu dari kawasan parlimen Bintulu yang diwakili Tiong. Dia merupakan ahli parlimen Bintulu sejak 1999. Bagaimanapun di sebalik situasi itu Tiong memang dilahirkan di Sibu.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Han pula akan mempertahankan kerusi Batu Kawah dan bakal berdepan dengan cabaran calon DAP, Dr Kelvin Yii.

Di kerusi Baleh pula, Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan meletakkan calon mereka Nicholas Kudi. Kerusi itu kini kosong berikutan kematian penyandangnya, James Jemut Masing pada 31 Okt lalu.

PBB akan menurunkan calon teramai iaitu 47 orang diikuti SUPP dengan 18 calon, manakala PRS kekal bertanding di 11 kerusi.

PDP pula akan meletakkan lima calon berbanding empat pada PRN lalu.

Hal itu bermakna sebahagian besar daripada 13 kerusi yang diberikan kepada "calon langsung BN" pada 2016 diperuntukkan kepada PBB kali ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS