Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Hulk’ Norhizam: Ada kata penyanggak, ada kata wira tak didendang

Daripada 112 calon yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada Sabtu, 20 November ini, Norhizam Hassan Baktee mungkin adalah antara yang paling dibenci, khususnya di kalangan penyokong DAP.

Setelah memenangi kerusi DUN Pengkalan Batu atas tiket DAP pada 2018, dia berpaling tadah dan mengisytiharkan dirinya sebagai calon Bebas. Ini menyumbang kepada kejatuhan kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Umno-Bersatu sebanyak dua kali.

Dia kini bertanding sebagai calon Bebas di Pengkalan Batu pada pilihan raya negeri Sabtu ini.

Gelagatnya sebagai “kaki lawan” dan kelantangannya yang dianggap sesetengah pihak sebagai “celupara” beberapa kali dirakamkan lensa kamera sehingga lekat jolokannya sebagai "Hulk".

"Kita orang Cina benci jenis yang paling tadah ini. Kita pilih kamu kerana parti kamu tetapi kerana kuasa, kamu lompat," kata Liu, 62 tahun yang berbahasa Cina dan hanya memberikan nama keluarga ketika ditemui di sebuah kedai kopi di Pengkalan Batu .

Namun, dalam pelbagai perbualan rawak, Malaysiakini juga ada terserempak dengan beberapa pengundi yang memuji Norhizam.

Pengundi ini mengingati Norhizam bukan kerana menyebakan tumbangnya kerajaan PH mahupun pentadbiran Umno-Bersatu tetapi kerana dia telah membantu mereka secara peribadi.

“YB (Norhizam) ini sahaja kerja kuat. Dia bagus. Setahu saya dulu, saya mohon sebelum saya zaman BN dulu, saya mohon sini tak dapat (lesen).

“Tapi sejak dia (Norhizam) ambil alih, masa tiga bulan dia alih, terus dapat lese,” kata pemilik gerai, Ab Majin, 68 tahun.

Ada pula yang berkata, mereka sering melihatnya turun ke padang bersama rakyat.

“YB Norhizam sangat baik. Kalau tanya dengan penduduk kampung Bachang sendiri, petang-petang dia datang naik motor.

“Dia tak macam YB pun. Dia tolong semua orang la,” kata Safwan Suboh, 25 tahun.

Bachang terletak dalam kawasan DUN Pengkalan Batu.

Pengkalan Batu adalah kerusi majoriti Melayu (Melayu 66%, Cina 28%, India 5%). Ia pernah menjadi kerusi campuran (Melayu 48%, Cina 46%, India 5%) yang dinmakan Bachang sebelum persempadanan semula baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pemilik trak makanan berusia 29 tahun yang memberikan namanya sebagai Amirah menyifatkan Norhizam sebagai wakil rakyat yang sentiasa gigih berkhidmat untuk orang ramai.

“YB Norhizam adalah yang terbaik, yang boleh buat kerja, yang sentiasa dengan rakyat,” katanya.

Malah di luar Pengkalan Batu, nama Norhizam juga sering disebut-sebut terutama ketika kami berbual dengan beberapa nelayan.

Misalnya, di Pantai Kundor, beberapa nelayan bercakap tentang kekecewaan mereka terhadap BN, PN dan PH.

Bagaimanapun, mereka berkata Norhizam adalah satu-satu wakil rakyat yang berlainan.

“Kia nmpaklah, yang ada boleh tolong (kita) sikit (ialah) Norhizam. Dia boleh (tolong).

“Dia yang banyak tolong nelayan. Dia sanggup datang. Dia bagi duit bantuan, tolong dapatkan lesen,” kata Daud Othman, 38.

Menurut nelayan-nelayan berkenaan, Norhizam, yang merupakan exco perikanan, secara peribadi akan membuat susulan dengan mereka.

“Walauapun dia nampak macam gangster orang cakap dia, tapi dia punya hati memang baik.

“Saya berani cakap. dia memang baik, dia punya jiwa jiwa rakyat. Walaupun tengok dia itu macamkan, dia suka tembak babi kan? Tak apalah, itu minat dia,” kata seorang lagi nelayan, Mohd Yazid Ayop, 45 tahun.

Namun di sebalik berbangga dengan Norhizam, mereka tidak percaya dia boleh menang sebagai calon Bebas.

Norhizam berdepandengan Muhamad Danish Zainudin dari DAP yang bertanding sebagai calon PH di Pengkalan Batu.

Calon lain ialah Mohd Azrudin Md Idris dari PN, Kalsom Noordin mewakili BN dan calon Putra, Mohd Aluwi Sari.

Tidak seperti di Sabah dan Sarawak, lazimnya calon Bebas di Semenanjung Malaysia jarang sekali menang dalam pilihan raya kerana kecenderungan pengundi untuk menyokong mengikut parti.

Kemenangan berprofil tinggi terakhir oleh calon Bebas di semenanjung ialah pada 1988.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS