Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: Jika bertembung dengan Umno, PAS akan sokong PN - Hadi

MUKTAMAR PAS | PAS hari ini menyuarakan ketegasan bahawa parti itu akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN) sekiranya berlaku pertembungan dengan calon Umno dan PN dalam PRN Melaka.

Ia dinyatakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika ditanya pemberita pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.

"Strategi PAS pusat yang buat keputusan dan keputusan dibuat kita akan pakai logo PN.

"Kita akan undi PN lah. Pakai simbol sama. Kita tengok Umno pakai simbol apa," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditanya berkenaan apakah pilihan penyokong PAS jika berlaku pertembungan antara calon Umno dan PN dalam PRN yang akan diadakan tak lama lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS berpendirian PN akan bertanding di semua kerusi di Melaka.

"Pendirian kita PN akan tanding semua, terpulang kepada Umno dia nak ikut PN atau nak bertanding sendiri. Kita tengok nama calon nanti.

"Amanatnya kita (kepada ahli) mendukung PN, dan PAS telah bersetuju akan bersama PN dalam pertandingan ini," ujarnya.

Pagi ini BN mengumumkan senarai calonnya di kesemua 28 kerusi DUN di Melaka. Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA dengan tujuh kerusi dan MIC dengan satu kerusi.

Timbalan Presiden Umno merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Mohamad Hasan juga menjawab segala persoalan berhubung dengan kerjasama dengan parti lain, dengan berkata gabungan itu akan bergerak secara solo dalam PRN kali ini.

Abdul Hadi berkata lagi, PAS akan bertanding sekurang-kurangnya satu per tiga daripada jumlah kerusi DUN dalam PRN Melaka.

Justeru, katanya, pembahagian akan dibuat secara bertolak-ansur bersama PN.

"Sekurang-kurangnya satu per tiga (kerusi), PAS tak tamak. Sebab kita ada tiga parti.

"Kita akan lihat di mana kita ada cawangan, sebab kita ada tolak-ansur. Ada Bersatu bagi tempat kuat kepada kita, dan kita beri tempat kita kuat kepada Bersatu," katanya.

Menyentuh soal hubungan dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi berkata hubungan itu terikat dengan piagam yang dipersetujui.

"Kita tidak lupa, kita pegang pada piagam (tetapi) piagam bukan Umno dan PAS saja. Umno dia berubah, bahkan sebelum ini sebahagian ahli parlimen (Umno) sokong jajaran baru," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hadi menegaskan MN berdasarkan piagam yang terbuka dan PAS tidak boleh "dikurung" dalam permuafakatan yang tertutup dan "sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air".

Merujuk pemilihan logo bagi PRN Melaka, Abdul Hadi menjelaskan PAS akan kekal menggunakan logo PN seperti yang telah diputuskan kepimpinan pusat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS