Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan mengajak orang ramai mengitar semula minyak masak terpakai dalam usaha menjaga alam sekitar dan ekosistem di negeri ini.
Pengarahnya Mohd Zahir Shari berkata selain itu usaha tersebut dapat menjana pendapatan keluarga melalui pertukaran minyak masak terpakai dengan wang tunai RM1.50 sekilogram.
"Penggunaan minyak masak terpakai berulang kali juga boleh memudaratkan kesihatan dan pencemaran alam sekitar.
“Minyak masak terpakai ini akan dikitar semula menjadi biodisel untuk kegunaan mesin, jentera dan alternatif bahan api yang bersih,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai : PD Clean We Care - Trash to Cash (Local Agenda 2030), di Port Dickson hari ini.
Katanya SWCorp dan Majlis Perbandaran Port Dickson mahu mendidik masyarakat menjaga kebersihan di rumah dengan tidak membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang kerana boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar, pembiakan lipas, tikus dan nyamuk serta berlakunya banjir.
- Bernama