PARLIMEN | Kerajaan akan terus menambah baik kaedah mengukur kemiskinan dalam memastikan keberkesanan dalam inisiatif pembasmian kemiskinan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sudah mempunyai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) merangkumi empat dimensi dan 11 indikator.
“Ia akan diperluas supaya lebih komprehensif untuk mengukur kemiskinan pelbagai dimensi dengan lebih baik termasuk untuk mengambil kira ketersediaan jalur lebar dan peranti digital.
“MPI akan membantu proses membuat keputusan berasaskan bukti pada semua peringkat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian inisiatif untuk mengurangkan kemiskinan,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Mustapa berkata pangkalan data berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial akan disepadukan melalui pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) untuk mengelak pertindihan, melakukan kesilapan dan penyisihan penerima bantuan.
Katanya analisis data raya dan dasar yang berpandukan data juga akan digunakan untuk menambah baik program membasmi kemiskinan.
“Sehingga kini, sebanyak 167 program merentasi semua kementerian dan jabatan melibatkan 13.7 juta penerima bantuan dengan nilai bantuan sebanyak RM28.6 bilion sudah dikenal pasti.
“PDPS ini dijadualkan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Nov akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengenai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), Mustapa berkata sasaran tersebut masih belum tercapai.
Pemilikan ekuiti sektor korporat bumiputera berasaskan nilai pasaran pada 2019 adalah hanya 17.2 peratus berbanding bukan bumiputera 25 peratus, asing 45.5 peratus dan nomini 12.3 peratus.
Dalam RMK12, kerajaan mengumumkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam memastikan penjualan saham atau syarikat bumiputera milik agensi mandat bumiputera, ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera lain yang berkelayakan.
Agensi mandat bumiputera ini terdiri daripada institusi kepentingan bumiputera termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Lembaga Tabung Haji serta agensi amanah termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dan perbadanan kemajuan ekonomi negeri.
PNB merupakan penyumbang peratusan terbesar dalam pemilikan ekuiti korporat Bumiputera, jelasnya.
Bagaimanpun, Mustapa berkata cadangan yang diumumkan itu tidak melibatkan saham dan/atau syarikat yang akan dijual oleh individu bumiputera, bukan bumiputera atau syarikat asing.
“Saya ingin menegaskan bahawa cadangan ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain,” katanya.
Mengenai isu berkaitan pegangan nomini dalam pemilikan ekuiti sektor korporat pula beliau berkata pemilikan nomini pada 2019 berdasarkan nilai pasaran adalah 12.3 peratus.
Ketika ini pegangan nomini tidak disyaratkan untuk mendedahkan pemilik sebenar saham mereka, katanya.
“Sehubungan itu, saya ingin memaklumkan bahawa pindaan dan penambahbaikan akan dibuat kepada Akta Syarikat 2016 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi mengenal pasti pemilik sebenar saham dalam syarikat khususnya di bawah pegangan nomini,” katanya.
- Bernama