Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri perjelas jualan saham bumiputera hanya libatkan PNB, Mara
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed menjelaskan bahawa rancangan mengehadkan penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya kepada pembeli bumiputera, akan melibatkan institusi mandat bumiputera sahaja.

Katanya, usul dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) itu hanya melibatkan institusi mandat bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Pengumuman ini telah menimbulkan beberapa tafsiran yang berbeza. Perkara ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa pihak sehingga menimbulkan persepsi seolah- olah Bumiputera akan mengambil hak kaum lain.

“Ingin saya jelaskan dengan lebih lanjut bahawa cadangan untuk memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti ini hanya merujuk kepada penjualan saham dan/atau syarikat oleh agensi mandat bumiputera sahaja.

“Agensi mandat bumiputera ini terdiri daripada institusi kepentingan bumiputera ttermasuk PNB dan Tabung Haji, serta agensi amanah bumiputera termasuk Mara, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan Ekuinas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, cadangan itu tidak melibatkan penjual bumiputera kepada pembeli bukan bumiputera atau pembeli asing.

Tambahnya lagi, penjualan dari bumiputera ke bumiputera tersebut, hanya akan ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera yang berkelayakan sahaja.

“Pada tahun 2019, pemilikan bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2 peratus.

“Pengumuman ini dibuat untuk memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan bumiputera dan tidak terhakis.

“Cadangan ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain,” katanya lagi.

Katanya lagi, perundangan dan peraturan sedia ada - seperti kelulusan Unit Perancang Ekonomi untuk pemilikan hartanah kepentingan bumiputera atau agensi kerajaan bernilai RM20 juta - akan terus berkuat kuasa seperti biasa.

Senarai penuh agensi mandat bumiputera yang terlibat dalam inisiatif ‘penjualan saham dari bumiputera kepada bumiputera’ ini, adalah seperti berikut:

Institusi kepentingan bumiputera:

1. Permodalan Nasional Berhad (PNB)

2. Lembaga Tabung Haji (TH)

3. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

4. Koperasi Polis DiRaja Malaysia (KPDRM)

Agensi amanah bumiputera:

5. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN)

6. Majlis Amanah Rakyat (Mara)

7i. Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas)

8. Pelaburan Hartanah Berhad (PHB)

9. Perbadanan Nasional Berhad (PNS)

10. VentureTECH Sdn. Bhd

11. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)

12. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS