Siasatan awal pihak polis berhubung isu yang tular memaparkan sebuah kenderaan mewah milik seorang timbalan menteri yang dipandu dalam keadaan berbahaya dikatakan berkejar untuk ke lapangan terbang.
Difahamkan kereta jenis Toyota Alphard bernombor pendaftaran P45 itu dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun, yang bekerja sebagai pemandu pemimpin itu.
"Pemandu yang dalam tugasan hendak cepat dan memotong kenderaan di hadapannya di samping menyalakan lampu isyarat kecemasan dan memastikan keadaan selamat sebelum memotong kenderaan dihadapannya di atas garisan berkembar tersebut.
"Semasa kejadian dia seorang diri memandu dari rumahnya hendak menghala ke rumah majikan untuk dihantar ke lapangan terbang.
"Pemandu itu bertindak memotong di garisan berkembar kerana ingin sampai cepat di rumah majikannya kerana penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 17.50 petang," kata sumber kepada Malaysiakini.
Baca: Polis siasat kes Toyota Alphard P45 langgar peraturan lalu lintas
Semalam Malaysiakini melaporkan, polis Kelantan membuka siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard milik seorang timbalan.
Sebelum itu tular rakaman video sejak kelmarin yang mendakwa dia melanggar peraturan jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Supt Shuhaimi Jusoh berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan berkenaan.
Terdahulu, difahamkan video tersebut dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum ia tersebar secara meluas di media-media sosial.
Video berdurasi 38 saat itu turut dilatari dengan rungutan individu tersebut yang marah dengan tindakan pemandu kereta berkenaan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Bukit Marak - Binjai, Kota Bharu, kira-kira jam 5.20 petang, Sabtu lalu.
Sementara itu Shuhaimi berkata, sisatan kes itu masih diteruskan, manakala lelaki tersebut masih berada di Kuala Lumpur.
"Pemandu tersebut terus memandu ke Kuala Lumpur selepas menghantar majikannya ke lapangan terbang.
“Di masih berada di Kuala Lumpur dan sudah dihubungi untuk membantu siasatan," katanya.