mk-logo
Berita
PM tak yakin kabinetkah, lantik Muhyiddin pengerusi MPN - Saifuddin
Diterbitkan:  Sep 4, 2021 11:19 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan pelantikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Katanya, lantikan itu cuma menambah lapisan birokrasi yang tidak perlu kepada usaha pemulihan negara.

"Kerana Muhyiddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada jemaah menteri dahulu.

"Adakah Ismail tidak yakin dengan menteri-menterinya," soal Saifuddin pada satu kenyataan hari ini.

Dia juga menyoal sekiranya langkah ini bertujuan semata-mata untuk memastikan kelangsungan politik Ismail Sabri.

Jawatan baru Muhyiddin itu bertaraf menteri.

Saifuddin berkata dasar Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri jelas gagal membendung wabak itu dan mendakwa dia bertanggung jawab atas penderitaan rakyat sekarang.

"Sejauhmanakah Muhyiddin bersedia memberi saranan kepada Ismail Sabri untuk membatalkan atau menambah baik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa Muhyiddin menjadi PM, tetapi tidak berkesan dalam menangani pandemik?

"Adakah bukan akan ada kecenderungan mantan PM akan cuba mempertahankan legasinya dan bukan menilainya secara objektif," soal Saifuddin lagi.

Selama menerajui pucuk pimpinan kerajaan, Muhyiddin memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) - yang secara beransur-ansur akan membuka kembali sektor-sektor ketika keadaan pandemik bertambah baik berdasarkan tiga kriteria - jumlah kes harian, kapasiti hospital, dan kadar vaksinasi.

PPN telah dikritik kerana penerapan kriteria yang tidak konsisten.

Kerajaan pula mempertahankan pelan ini berkata PPN sebagai "dinamik."

Ismail Sabri sebelum ini menawarkan pembangkang untuk menjadi sebagahagian Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Pakatan Harapan masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu, tetapi para pemimpin individu telah menyatakan keterbukaan untuk menyertai MPN, hanya jika ia bukan sekadar 'pak turut'.

Pun begitu, pelantikan Muhyiddin mungkin merencatkan usaha mendapatkan sokongan bipartisan terhadap MPN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS