Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh saran tamatkan surat kebenaran Miti, ganti 'pasport' dari KKM

PARLIMEN | Noh Omar menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan pengeluaran surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk perjalanan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebagai ganti ahli parlimen Tanjong Karang itu menyarankan kerajaan mengeluarkan pasport khas kepada individu yang diberi kebenaran keluar bekerja atau merentas negeri.

Hal itu kerana, kata Noh, tiada sebarang jaminan surat dikeluarkan Miti itu dapat mengekang penularan Covid-19.

"Boleh tak (kerajaan) ubah sikit SOP (prosedur operasi standard) ni?

"Selain daripada nak merentas negeri atau pergi kerja, saya ingat surat Miti ni hentikanlah. Miti bagi surat tapi apakah jaminan pembawa surat itu bebas daripada virus?" katanya.

Justeru Noh mencadangkan kerajaan merangka dasar dan SOP baru iaitu melalui pengeluaran pasport khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada individu yang menjalani ujian RTK Antigen (RTK-Ag).

Menurut Noh, Miti mengeluarkan surat kebenaran dengan mengambil kira sektor perkilangan namun yang turut perlu diperhatikan ialah sektor lain seperti perhotelan, usahawan kecil dan peniaga kecil.

Pasport tersebut kata Noh boleh ditetapkan tempoh sahnya dan apabila luput pemegang terbabit perlu menjalani ujian RTK semula.

Syarikat besar terus operasi

Kos untuk menjalani ujian tersebut pula, menurutnya, boleh diberikan subsidi oleh kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, berkata walaupun pemberian vaksin memberikan harapan kepada rakyat untuk membendung virus Covid-19, kerajaan perlu mengambil langkah efektif untuk menanganinya kerana wabak ini akan menjadi endemik dalam kalangan masyarakat.

Bimbang dengan SOP yang tidak menentu oleh kerajaan sehingga menjejaskan sektor ekonomi, bekas timbalan menteri kesihatan itu mencadangkan supaya pencegahan itu dibuat mengikut industri dan saiz syarikat terbabit.

Malah menurutnya, pengoperasian sesuatu sektor ekonomi itu juga boleh dibenarkan mengikut tahap risiko.

“Pembahagian sektor ekonomi kepada sektor penting dan tak penting tidak lagi relevan apabila PKP itu berlarutan,” katanya pada sesi perbahasan penerangan Kementerian Kesihatan di Parlimen petang ini.

Menurut Lee, kesan daripada PKP yang berlarutan menyebabkan ramai peniaga kecil dan sederhana yang tidak atau menyumbang kes jangkitan tidak dibenarkan berniaga sehingga terpaksa gulung tikar.

“Selain daripada itu ada syarikat besar yang melibatkan beribu-ribu kes Covid-19 dibenarkan terus beroperasi dan terus untung berbilion-bilion ringgit,” katanya tanpa menyebut sektor yang dimaksudkan itu.

Pada masa sama, Lee turut meminta KKM menambah kapasiti untuk rawatan Covid-19 dengan membina hospital sementara yang mencukupi dan menyelesaikan masalah doktor kontrak.

“Saya juga cadangkan KKM harus lakukan kajian peratusan positiviti antibodi di kalangan populasi yang masih belum terima vaksin.

“Ini akan memberi gambaran yang lebih jelas untuk meramal bilakah masa negara akan mencapai puncak jangkitan virus,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS