Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Firma guaman kini perkhidmatan penting, boleh operasi semula

Firma guaman kini dimasukkan dalam kategori perkhidmatan penting dan dibenarkan beroperasi semula semasa sekatan pergerakan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia.

Perkara ini dimaklumkan menerusi satu pekeliling oleh Majlis Peguam yang diemelkan kepada para peguam hari ini.

Berdasarkan salinan pekeliling yang dilihat Malaysiakini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini, bertarikh semalam.

“SOP yang dikemas kini ini mengesahkan bahawa firma guaman diakui sebagai perkhidmatan penting, tanpa mengira kira bidang kepakaran, dan dibenarkan beroperasi bermula 29 Jun 2021, tertakluk kepada syarat yang dikemukakan di sini,” menurut pekeliling itu.

Majlis Peguam berkata para peguam boleh memohon secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 3.0 (CIMS 3.0) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan kelulusan akan diberi dalam masa 24 jam.

Majlis Peguam antara lain turut memaklumkan tiada dokumen sokongan yang perlu diberikan ketika membuat permohonan itu, dan pemohon boleh mencetak surat kelulusan. Selain itu permit polis juga tidak diperlukan, katanya.

Sebelum ini, Majlis Peguam menulis kepada kerajaan bagi meminta semua firma guaman dibenarkan beroperasi dalam kapasiti tidak penuh bagi menjamin akses orang ramai terhadap perwakilan undang-undang yang sewajarnya.

Semasa sekatan pergerakan penuh di bawah PKP 3.0, firma guaman tidak dianggap perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi dan harus ditutup. Ini termasuklah yang mengendalikan kes jenayah.

Pada 1 Jun, Malaysiakini melaporkan kebimbangan dibangkitkan para peguam berhubung penutupan firma guaman di seluruh negara boleh menjejaskan akses tahanan untuk mendapatkan perwakilan perundangan yang wajar.

Pada 2 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata hanya firma guaman yang terlibat dalam perkhidmatan perundangan korporat dan penyampaian sektor perkhidmatan penting boleh memohon kebenaran beroperasi dalam sekatan pergerakan penuh, bersama kilang, syarikat, dan perniagaan berkaitan perkhidmatan penting yang diwakili mereka.

Takiyuddin juga berkata hanya peguam yang mewakili pelanggan yang berdepan dengan pertuduhan baru, permohonan perintah reman dan permohonan kes jenayah sahaja dibenarkan hadir di mahkamah semasa tempoh sekatan pergerakan penuh.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa kerajaan membenarkan peguam untuk memohon kebenaran sementara selama tiga hari bagi kerja-kerja pentadbiran.

Beberapa peguam mengesahkan kepada Malaysiakini yang mereka ada menerima pekeliling terbaru daripada Badan Peguam tersebut.

Antaranya, Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar yang menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana mendengar kebimbangan pengamal undang-undang berhubung akses perwakilan perundangan buat rakyat semasa tempoh sekatan pergerakan penuh.

M Visvanathan turut bersetuju dan berkata langkah terbaru itu akan meningkatkan kemampuan peguam untuk menyediakan perwakilan perundangan yang lebih baik buat anak guam, terutamanya yang berdepan kes jenayah.

“Akses kepada keadilan tidak boleh dihalang dalam apa cara pun. Ia (firma guaman) mesti dianggap sebagai perkhidmatan penting,” katanya yang mewakili beberapa kes kematian dalam tahanan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS