Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CIDB arah 150 tapak pembinaan tutup sebab langgar SOP
Diterbitkan:  Jun 21, 2021 7:07 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Satu daripada tiga tapak pembinaan yang diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) sepanjang penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kementerian Kerja Raya berkata CIDB telah mengarahkan 150 daripada 446 tapak pembinaan yang didapati beroperasi untuk ditutup kerana melanggar SOP ditetapkan.

Daripada 150 tapak pembinaan itu, 45 terletak di Sarawak, diikuti Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (4), Perlis (3) dan Kelantan (1).

"Daripada 446 tapak yang beroperasi, didapati 150 tapak pembinaan (34 peratus) tidak mematuhi SOP, manakala 296 (66 peratus) tapak lagi meamtuhi SOP.

"Kesemua 150 tapak yang tidak mematuhi SOP ini telah diarah tutup serta merta," kata kementerian itu dalam kenyataan.

Bagaimanapun, kata kementerian itu lagi, sebelas tapak pembinaan yang diarah tutup telah dibenarkan beroperasi semula selepas mematuhi SOP ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya juga memberi peringatan bahawa penggiat industri pembinaan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 oleh CIDB, atau digantung Perakuan Pendaftaran Kontraktor.

Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah kapasiti 60 peratus pekerja di tapak pembinaan.

Pekerja juga perlu bekerja dalam syif bagi membolehkan penjarakan fizikal dipatuhi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS