mk-logo
Berita
PKR Perak hadiahkan kamus bahasa Melayu untuk Takiyuddin
Diterbitkan:  Jun 19, 2021 6:10 PM
Dikemaskini: Jun 21, 2021 5:59 AM

Seorang pemimpin PKR Perak menghadiahkan senaskhah kamus bahasa Melayu untuk Takiyuddin Hassan bertujuan mengajar menteri di Jabatan Perdana Menteri itu makna "segera" dan "secepat mungkin".

Ketua Penerangan PKR Perak Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata Takiyuddin dilihat sengaja mentafsirkan ungkapan yang digunakan dalam kenyataan Istana Negara itu mengikut kepentingan diri dan politiknya.

Kata Muhammad Arafat lagi reaksi setiausaha agung PAS itu juga boleh dianggap biadap terhadap institusi raja di negara ini.

"Oleh kerana itu saya nak menghadiahkan kamus untuk menteri undang-undang saudara Takiyuddin sekiranya (dia) tidak faham bahasa, tak faham maksud segera dan maksud secepat mungkin," katanya dalam satu rakaman video yang dihantar kepada Malaysiakini hari ini.

Dalam klip itu Muhammad Arafat dilihat memegang senaskhah Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen di negara ini perlu diadakan secepat mungkin. Pandangan tersebut kemudian disokong Majlis Raja-raja.

Sebelum itu Agong dan Raja-raja Melayu mengadapan perbincangan khas mengenai situasi semasa negara yang diancam wabak Covid-19 dan belum nampak tanda ia akan reda.

Bukan kali pertama

Menurut Agong persidangan itu diperlukan agar segala ordinan darurat serta Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat dibahaskan semua ahli parlimen.

Bagaimanapun dalam reaksi sesudah itu Takiyuddin berkata memang Agong menyatakan pandangan supaya persidangan parlimen dibuat secepat mungkin namun tidak ada tarikh dinyatakan.

“Perkataan digunakan dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong ialah ‘persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin'. Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin," kata Takiyuddin.

Muhammad Arafat berkata disebabkan sekarang sekatan pergerakan penuh sedang berkuat kuasa dia tidak dapat menghantar sendiri kamus berkenaan kepada Takiyuddin.

Justeru kata Adun Hulu Kinta itu dia terpaksa menggunakan khidmat penghantar bungkusan untuk menyerahkan kamus bahasa Melayu tersebut.

Dia turut berkata sikap PAS yang tidak mengendahkan istana bukanlah kali pertama dibuat parti berkenaan kerana pernah berlaku di Perak iaitu pada tahun lalu.

Muhammad Arafat merujuk kepada kegagalan pemimpin PAS menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, sebelum baginda memperkenankan pelantikan menteri besar baru negeri itu.

Dalam kejadian itu, semua Adun PAS Perak termasuk pesuruhjayanya Razman Zakaria tidak menghadap Sultan Nazrin seperti yang dititahkan. Beberapa hari kemudian Presiden PAS Abdul Hadi Awang akhirnya menghadap Sultan Nazrrin Shah untuk memohon ampun.

"Inilah perangai sebenar pemimpin-pemimpin parti kononnya parti Islam," kata Muhammad Arafat lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS