Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Mempunyai kelainan pada fizikal tidak semestinya mematahkan semangat dan menghalang seseorang daripada berjaya dalam hidup sama seperti orang lain.

Kadang-kadang kelainan itulah yang menjadi pembakar semangat kepada seseorang untuk lebih ke hadapan dalam menjalani onak duri kehidupan.

Ia berlaku pada seorang pemuda Kelantan, Ainul Afief Zunaidi. Walaupun menghidap penyakit duchenne muskular distrofi (DMD) iaitu salah satu kumpulan penyakit pengecutan otot yang jarang berlaku.

Penyakit itu menyebabkan seluruh anggotanya tidak boleh bergerak seperti biasa, kecuali ibu jari tangan kanannya.

Namun ia tidak menjadi kekangan untuk Ainul Afief mengejar cita-cita menjadi pereka grafik. Justeru pemuda berusia 28 tahun itu turut mengusahakan sebuah kedai mencetak baju.

Dia yang mengalami DMD sejak berusia sembilan tahun juga memiliki keistimewaan tersendiri.

Untuk mereka cipta sesuatu corak atau memenuhi tempahan pelanggan, Ainul Afief hanya menggunakan ibu jari kanan saja untuk mengawal komputer ribanya.

Jana pendapatan sendiri

Sebelum menjadi pengusaha kedai cetak baju itu, Ainul Afief bukanlah mengikuti mana-mana kelas reka bentuk secara formal. Sebaliknya dia hanya bergantung kepada apa yang dipelajari di YouTube.

Dari situlah katanya dia mula belajar bertatih satu demi satu langkah sehinggalah berani membuka perniagaan sendiri.

Menceritakan keadaan dirinya sewaktu kecil Ainul Afief berkata dia kerap jatuh kerana kakinya tidak mampu menampung berat badan ketika dia berusia sembilan tahun.

Ibunya kemudian merujuk masalah tersebut ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian untuk rawatan susulan.

“Pada usia 11 tahun saya berhenti sekolah kerana penyakit DMD dan ibu membelikan saya sebuah komputer riba.

"Dari situlah bermula pencambahan idea apabila saya banyak melihat video yang memberi maklumat berguna.

“Melalui YouTube saja saya belajar bagaimana menggunakan Adobe Illustrator untuk mereka bentuk apa-apa jenis rekaan dan hasilnya, saya pandai menggunakan perisian itu sebagai punca pendapatan sekarang,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di kedainya di Kampung Binjai Limbat, Jalan Mulong, Kota Bharu, semalam.

Anak bongsu daripada dua beradik itu hanya tinggal bersama ibunya Nik Rosita Nik Hassan, 53, selepas wanita terbabit bercerai. Kakak Ainul Afief pula menetap di Pulau Pinang selepas bekerja dan mendirikan rumah tangga di sana.

Isi masa dengan baca Quran

Mula membuka sebuah kedai cetak pada 2019 dan menamakan kedai sebagai Nik Ez Shop, dia meneruskan perjuangan hidup bersama ibunya di kedai itu.

Kedai yang menjadi punca rezeki buat mereka berdua itu menyediakan perkhidmatan cetakan terutamanya cetakan baju yang akan direka sepenuhnya oleh Ainul Afief.

Sementara itu Nik Rosita - yang sebelum ini bekerja sebagai tukang jahit - berkata setiap proses yang dijalankan untuk menyiapkan satu-satu tempahan daripada pelanggan semuanya datang dari Ainul Afief sendiri.

Katanya Ainul Afief hanya bergantung kepadanya untuk hal-hal yang terbatas, seperti membantu pergerakan fizikal.

“Asalnya saya bekerja sebagai tukang jahit, tetapi pada suatu hari dia memberi idea kepada saya untuk menjalankan perniagaan cetakan selepas dia belajar semuanya dari YouTube.

“Kedai ini dibuka pada dua tahun lepas, dan alhamdulillah kami mendapat bantuan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang menyumbang alat-alat cetakan yang bernilai RM36,000.

“Selepas itu kedai beroperasi dan segala proses percetakan semuanya datang daripada idea Ainul Afief. Mula dengan berbincang dengan pelanggan sehinggalah mencari idea untuk reka bentuk pelekat, itu semua dia yang uruskan.

“Saya hanya menolongnya dari segi pergerakan fizikal kerana semua anggota badannya tidak boleh bergerak, kecuali ibu jari kanan sahaja.

“Apabila dia ingin membuat kerja menggunakan komputer riba, saya akan meletakkan tanggannya di atas peranti itu dan dia akan mengawalnya dengan menggunakan ibu jari sebelah tangan kanannya sahaja,” jelas ibunya.

Ainul Afief menambah ramai orang yang datang ke situ kemudian menjadi pelanggan tetap kerana mereka teruja apabila melihat dia menyiapkan tempahan mereka walaupun dalam keadaan berlainan upaya.

“Ramai daripada mereka menjadi pelanggan tetap kerana mereka suka akan hasil rekaan yang saya buat.

“Mereka teruja apabila melihat kesungguhan saya mengendalikan komputer riba untuk menyiapkan reka bentuk pelekat yang ditempah dengan hanya menggunakan satu ibu jari kanan,” katanya.

Menghabiskan masa lapangnya dengan membaca al-Quran, Ainul Afief berharap dirinya tetap cekal dan berjaya mencapai apa yang dihajati untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya ada impian, jika ada rezeki saya akan membesarkan perniaagan ini dan menjadi pereka grafik yang terkenal serta membuat orang sekeliling bangga dengan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS