Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan teksi dakwa masih ada pemandu diminta tunjuk surat Miti di SJR
Diterbitkan:  Jun 8, 2021 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Masih ada pemandu teksi yang berdepan masalah apabila diminta menunjukkan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di sekatan jalan raya, dakwa Gabungan Pertubuhan Teksi Kereta Sewa Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Malaysia (GTSM).

Ia walaupun polis sudah mengeluarkan senarai 10 surat kebenaran daripada agensi dan kementerian yang diterima pakai di sekatan jalan raya.

Justeru, Yang Dipertua GTSM Kamarudin Mohd Hussain meminta polis menyelesaikan apa yang menurutnya sebagai pertindihan prosedur operasi standard (SOP) dan kekeliruan tersebut.

"Sehingga awal pagi ini, kami masih menerima banyak aduan dari ahli-ahli kami di seluruh negara, khususnya di Pulau Pinang dan Labuan, yang dakwa mereka hadapi masalah ketika melalui sekatan jalan raya kerana diminta kemukakan surat dari Miti dan tidak menerima surat daripada kementerian lain.

"Malah ada yang mengadu tidak dibenarkan beroperasi.

"Apakah kami dari sektor perkhidmatan awam yang mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibenarkan beroperasi masih diwajibkan mendapatkan surat kebenaran beroperasi dari kementerian atau agensi yang disenaraikan oleh PDRM, atau sebaliknya hanya dari Miti sahaja?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

"Sekiranya perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi, tolong maklumkan nama kementerian/agensi terbabit," katanya lagi, sambil menggesa isu tersebut diselesaikan segera.

Pada 6 Jun lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menyenaraikan 10 surat kebenaran dari agensi dan kementerian - berdasarkan sektor yang diluluskan - yang diterima pakai dalam sekatan jalan raya.

Senarai tersebut adalah:

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti): Pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan
  • Kementerian Pengangkutan: Pengangkutan awam dan barang keperluan
  • Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi): Pertanian / Perikanan / Pertanian / Perladangan / Komoditi. Mafi hanya akan mengeluarkan surat kebenaran untuk pekebun kecil. Mereka yang berlesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia mesti mendapatkan surat dari Miti.
  • Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi termasuk buah sawit, getah dan lain-lain. Permit atau pemegang lesen Lembaga Getah Malaysia dibenarkan menggunakan surat yang dikeluarkan oleh lembaga atau kementerian. Sementara itu, pengeluar produk berasaskan getah diminta untuk mendapatkan surat dari Miti.
  • Bank Negara Malaysia: Institusi perbankan, insurans
  • Suruhanjaya Sekuriti: Sektor perdagangan saham
  • Kerajaan Tempatan: Peniaga kecil / penjaja / pengusaha kendera saji
  • Kementerian Komunikasi dan Multimedia: Telekomunikasi / media / pos / kurier / penyiaran
  • Kementerian Dalam Negeri: Semua surat yang dikeluarkan oleh agensi di bawah kementerian diterima untuk pergerakan kakitangan
  • Polis: Surat kebenaran daripada polis akan dikeluarkan untuk mereka yang bekerja sendiri, dan juga kebenaran melintasi sempadan untuk urusan kecemasan dan pengebumian.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS