Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa hadapi 13 pertuduhan rogol, amang seksual terhadap anak kandung
Diterbitkan:  Jun 4, 2021 2:41 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini atas 13 pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 2009 hingga tahun lepas.

Lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai juruteknik kilang itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noorhayati Mohamad Yunus.

Tertuduh didakwa atas 12 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak sulung daripada dua beradik yang kini berusia 18 tahun, di sebuah rumah di Bukit Mertajam, antara 2009 dan 2020.

Pertuduhan merogol dikemukakan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, manakala pertuduhan amang seksual dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 25 tahun dan sebatan.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syeqal Che Murad, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS