Tiada bukti A Ganapathy yang meninggal dunia di hospital dipukul ketika dalam tahanan polis, kata Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe.
Katanya, Ganapathy tidak pernah mengadu dipukul polis walaupun dibawa ke mahkamah majistret sebanyak tiga kali untuk direman.
"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang aduan dipukul oleh pihak polis oleh mangsa kepada Yang Arif Majistret selepas tiga kali dibawa ke hadapannya bagi tujuan reman dan sambung reman pada 25 Feb, 2 Mac dan 6 Mac.
"Mangsa juga tidak membuat sebarang aduan kepada pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan yang telah merawat mangsa pada 28 Feb, 3 Mac, 6 Mac dan 7 Mac," katanya kepada pemberita di IPD Gombak, hari ini.
Dia berkata demikian ketika mengulas kes kematian Ganapathy setelah hasil laporan bedah siasat mendapati lelaki itu mati akibat kecederaan teruk di kaki dan bahu.
Arifai juga berkata siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dimajukan ke pejabat timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat dengan cadangan inkues.
"Sebarang perkembangan baru akan dimaklumkan," katanya.
Semalam peguam keluarga mendiang Ganapathy, K Ganesh memberitahu Malaysiakini bahawa Ganapathy mati akibat kecederaan teruk di bahagian kaki dan bahu.
Ganapathy yang merupakan seorang peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun, meninggal dunia pada 18 April di Hospital Selayang.
Dia dimasukkan dalam wad ICU pada 8 Mac oleh seorang pegawai polis setelah dibebaskan daripada tahanan pada 24 Feb.
Namun, pada 11 Mac, ibu mendiang S Thanaletchumy membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.
Sementara itu, Arifai menasihatkan agar orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau mengulas kerana kes masih diperingkat siasatan.
"Kami minta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi.
"Pihak polis juga akan memanggil semua pihak membuat video bersifat palsu berhubung kematian mendiang Ganapathy untuk memberi keterangan," katanya.