MIC menggesa siasatan bebas dijalankan berhubung kematian A Ganapathy, yang kakinya dipotong dan meninggal dunia setelah ditahan pihak polis.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran menegaskan bahawa insiden terbaru itu membuktikan pentingnya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
"Kematian A Ganapathy tempoh hari selepas hampir sebulan di unit rawatan rapi Hospital Selayang berikutan penahanan oleh PDRM untuk tujuan membantu siasatan perlu disiasat dengan segera oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Dakwaan ibu mendiang bahawa A Ganapathy telah dinafikan hak untuk menerima perubatan dan telah dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan serius ketika dalam tahanan sehingga mengakibatkan kematian perlu diberi perhatian dan dijawab dengan sewajarnya oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Insiden melibatkan kematian atau kecederaan yang dialami ketika dalam tahanan polis bukan baru berlaku. Sudah beberapa kali insiden – insiden seperti ini berlaku dan malah berulang seolah-olah tiada kesudahan sehingga ke hari ini," katanya.
Sivarraajh berkata, selain memastikan satu siasatan bebas, menteri juga perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan keluarga mendiang tidak terdedah kepada ancaman akibat pendedahan ini.
"Suka atau tidak, setiap kali berlakunya kes- kes seperti ini, kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa akan hanya merosot lagi.
"Setiap satu kematian atau kecederaan yang berlaku ketika dalam tahanan perlu dijawab oleh pihak berkaitan, terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.
"Saya percaya kematian ini juga sekali lagi membuktikan kepentingan penubuhan IPCMC dengan segera. Keadilan yang dapat diketengahkan melalui IPCMC bukan sahaja penting untuk memastikan mangsa menerima keadilan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi PDRM sendiri," katanya.
A Ganapathy, 40 ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi adik beradiknya yang dikehendaki oleh polis.
Dia dibebaskan pada 8 Mac tetapi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.
Ibunya, S Thanaletchumy yang berusia 60 tahun berkata anaknya memberitahu bahawa dia dipukul oleh polis menggunakan paip getah.
Semasa di hospital, Ganapathy disahkan mengalami masalah buah pinggang dan kakinya perlu dipotong.
Keluarganya mendakwa kesihatan Ganapathy merosot ketika dalam tahanan polis, mengakibatkan kakinya bengkak dan lebam seolah-olah dipukul.
Ganapathy pernah bekerja sebagai peniaga menjual susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata polis sedang menunggu laporan bedah siasat dan akan menyiasat kematian tersebut.