Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Liew gesa pemimpin DAP kekal teguh di tengah hasutan kaum
Diterbitkan:  Apr 26, 2021 11:47 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

WAWANCARA | DAP kini buntu. Usahanya untuk menawan hati pengundi Melayu dan memudarkan imej kecinaan menimbulkan rasa senang sesetengah pihak.

Misalnya, kelantangan ahli jawatankuasa pusat Ronnie Liu yang mengingatkan DAP agar tidak memperlekeh atau merendah-rendahkan parti berkenaan dalam membuat keputusan tersebut.

Menerusi satu wawancara bersama Malaysiakini, pengarah pendidikan politik DAP Liew Chin Tong mengkritik pihak yang menabur sentimen perkauman dan menggesa semua pemimpin untuk mempertahankan pendirian parti itu.

Tanpa menyatakan nama, Liew berkata “Ada yang mencetuskan kegusaran dan konflik perkauman.”

Jelasnya, ini merupakan sebab di sebalik kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mengatakan telah bersedia untuk tewas dalam pemilihan DAP akan datang bagi jawatan eksekutif pusat (CEC).

Pemilihan CEC dijangka diadakan pada 20 Jun. Pada pemilihan lalu, Lim menggunguli jawatan itu dengan undian tertinggi.

Liew turut menegaskan bahawa DAP perlu jelas akan rancangan masa depan mereka dan pemimpin perlu bersatu padu di tengah-tengah hasutan perkauman.

Pengerusi DAP Johor itu turut manambah, sentimen tersebut juga telah membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hanya 22 bulan berkuasa.

“Kita kena tahu, apa punca PH jatuh. Ia kerana terdapat pihak yang mencetuskan sentimen perkauman dan konflik,” tambahya.

Mengulangi kepentingan untuk bersatu, Liew menambah “Saya harap semua ahli dapat berbincang akan cara untuk meneruskan perjuangan pada pilihan raya umum (PRU) serta pada 10 tahun lagi. Baru kita boleh ada konsensus.”

“Kita faham ada ramai yang cuba tiup sentimen (perkauman), tetapi kita harap dapat bersatu dalam pemilihan parti.

“Jika parti dapat capai konsensus dan bergerak ke hadapan, saya percaya kita akan jadi parti paling kukuh meskipun terdapat konflik politik,” tambahnya.

Kit Siang patut bertanding PRU kelak

Liew yang menghargai jasa Lim selama berdekad lamanya, turut berpandangan, bahawa ahli politik berumur 80 tahun itu wajar bertanding lagi dalam PRU kelak.

“Jika PRU dibuat sekarang, dia patut bertanding. PRU kali ini penting dan dia kena bertanding susulan keadaan yang goyah.

“Adalah bagus bagi DAP memiliki generasi Kit Siang dan (Lim) Guan Eng, pemimpin generasi ketiga dan keempat di barisan hadapan, malah untuk mengembangkan parti jika ada peluang. Ini supaya kita kukuh dalam 10 tahun akan datang,” jelasnya.

Jika konflik politik masih berterusan, Liew percaya bahawa Lim, yang merupakan anggota parlimen Iskandar Puteri, perlu bertanding meskipun parlimen dibubarkan setelah tamat tempoh penggalnya.

 “Jika keadaan masih mengelirukan, saya fikir kebijaksanaan dan kepimpinannya akan diperlukan.

“Buat masa sekarang, kita berada di persimpangan jalan. Negara kini berada dalam persimpangan sama ada kita boleh bergerak ke peringkat seterusnya atau tersekat selama-lamanya.

“Perbahasan ini memerlukan kepimpinan. Ini bukan soal kedudukan tetapi lebih kepada kepimpinan, bagaimana untuk memimpin rakyat supaya mereka dapat lihat Malaysia adalah negara demokrasi tanpa hubung kait dari mana-mana kaum.

“Dia merupakan seorang pemimpin beridealogi dan intelektual terbaik untuk meneruskan gagasan itu,” tambah bekas timbalan menteri itu, yang baru-baru menulis buku berjudul “Lim Kit Siang: Patriot. Leader. Fighter.”

PH perlu menang PRU

Mengenai PH, Liew berkata ia perlu mensasarkan kemenangan pada PRU akan datang menonjolkan gabungan itu sebagai bakal kerajaan dan kekal mesra dengan parti-parti pembangkang lain.

“Bagi saya, parti pembangkang perlu mesra antara satu sama lain, walaupun kita tak bekerjasama secara menyeluruh, sekurang-kurangnya kita tidak perlu agresif ke atas satu sama lain.

“Perlu ada kefahaman supaya kita tidak menyerang sesama sendiri dan fokus untuk mengalahkan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan membina gabungan kerajaan lebih baik,” tambahnya.

Merujuk pengalaman lalu, Liew menekankan, PH perlu jelas akan formula pilihan raya bagi membentuk gabungan, bukan cuma dengan parti, tetapi juga dengan pengundi.

“PH perlu menjadi parti politik natural kepada wanita Melayu, belia Melayu, rakyat Sabah dan Sarawak serta bukan Melayu yang mahukan negara lebih baik.

“Sebaik sahaja kita memenangi 'gabungan' di kalangan pengundi, dan mereka menganggap kita parti politik kukuh dan kita menolak konservatisme yang menentang wanita, golongan muda dan bukan Melayu, maka kita tahu di mana kita berada," tambahnya.

Patutkah PH bekerjasama dengan Dr M dan Umno?

Ditanya adakah PH perlu meneruskan kerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama parti barunya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Liew mengulangi adalah penting bagi parti pembangkang memiliki hubungan yang baik.

“Selagi dia bukan calon perdana menteri dan hanya pemimpin pembangkang, kita perlu berbincang dengan semua pemimpin untuk melihat kerjasama itu. Jika kita tidak boleh bekerjasama, biarkan.

“Tetapi perkara utama adalah, Mahathir kini bukan lagi calon perdana menteri, oleh sebab itu dia merupakan salah seorang dari ramai 'player'. Kita tidak perlu bermusuh dengannya. Musuh utama kita adalah Muhyiddin,” tambahnya.

Untuk Umno pula, Liew berkata tiada keperluan untuk PH bekerjasama dengan parti itu pada PRU akan datang, setelah pemimpin PH dan presiden PKR juga telah memutuskan untuk bergerak ke hadapan.

“Saya rasa yang penting, apabila (Anwar) berkata dia tidak lagi ingin mengumpulkan majoriti dan akan mempersiapkan parti menjelang PRU. Kita perlu bersedia untuk menang dan mentadbir kerajaan bersama,”tambahnya.

Dia turut menyatakan Umno tidak akan menjadi blok terbesar dalam PRU akan datang dan PH perlu yakin dengan formula kemenangan mereka.

“Tidak perlu bentuk kerajaan dengan Umno. Umno tidak akan menjadi blok terbesar. Kita perlu yakin dengan formula kemenangan kita. Kita perlu sasarkan kemenangan.

“PH perlu mensasarkan kemenangan sebagai blok terbesar dalam situasi pertandingan tiga penjuru sebelum bercakap tentang perkara lain. Kenapa perlu berbincang dengan Umno? Kita perlu perkuatkan diri.

“Daripada berunding dengan Umno sekarang, dengan perpecahan parti itu, mari kita lawan dalam PRU dan lihat apa akan jadi seterusnya.

“Kita perlu percaya bahawa pengundi Malaysia kini bersedia untuk kerajaan PH, parti pelbagai etnik di Malaysia dan kita perlu cuba idea tersebut,” katanya lagi.

[Baca wawancara asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS