Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski, menafikan laporan bahawa perdana menteri negara itu Scott Morrison pernah meminta Dr Mahathir Mohamad menggugurkan syarat lesen ke atas Lynas Malaysia (Lynas) pada 2019.
Katanya, Australia tidak meminta Malaysia membuang atau mengubah apa-apa syarat yang diberikan kepada Lynas, malah sebenarnya mengalu-alukan keputusan Putrajaya memberikan lesen kepada syarikat itu pada 2019 dan 2020.
“Dakwaan ini palsu. Kerajaan Australia tidak membuat permintaan agar kerajaan Malaysia membuang atau mengubah syarat-syarat lesen enam bulan yang diberikan kepada Lynas pada 15 Ogos 2019.
“Malah, kerajaan Australia mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia untuk memberikan lesen enam bulan kepada Lynas pada Ogos 2019, dan lesen tiga tahun pada Februari 2020.
“Lynas juga mengumumkan yang ia mahu memenuhi syarat-syarat baru (yang terdapat) dalam lesennya itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Goledzinowski berkata demikian sebagai mengulas artikel berkenaan buku ditulis salah seorang pemimpin DAP yang mendakwa pada 21 Ogos 2019, Mahathir selaku perdana menteri ketika itu mahu memecat Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin, yang memegang jawatan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim.
Menurut Liew Chin Tong hasrat Mahathir itu didorong oleh ketegasan Yeo berhubung isu Lynas dan isu-isu lain berkaitan alam sekitar. Namun, niat Mahathir itu tidak diteruskan setelah dipujuk pemimpin-pemimpin parti pembangkang.
Menurut pengarah pendidikan politik DAP itu lagi ia berlaku beberapa hari selepas Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) mengumumkan syarat baru dan signifikan untuk syarikat Lynas mendapat lesen daripada kerajaan.
Bukti wajar berasaskan sains
Lebih dua bulan kemudian, pada Nov 2019, Mahathir bertemu dengan Morrison dalam Sidang Kemuncak Asean ke-35 di Bangkok, Thailand.
Pada persidangan itulah Mahathir dilaporkan Bernama memberitahu pemberita bahawa dalam pertemuan berkenaan Morrison meluangkan banyak masa untuk meminta agar syarat-syarat yang ditetapkan Malaysia ke atas Lynas dibatalkan.
“Mereka (kerajaan Australian) berharap kita akan gugurkan syarat-syarat itu,” Mahathir dilaporkan berkata.
Pada 15 Ogos 2019, AELB mengumumkan syarat baru - dan signifikan - untuk syarikat Lynas mendapat lesen daripada kerajaan. AELB merupakan agensi yang berada di bawah tanggungjawab kementerian Yeo.
Antara syarat yang ditetapkan AELB ialah Lynas mesti memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching) ke Australia dalam tempoh empat tahun.
Ia adalah proses sama yang menyebabkan penumpukan sisa radioaktif di kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
Lynas juga dikehendaki membatalkan rancangan mereka untuk mengkomersialkan sisa buangan mereka - yang didakwa memiliki kadar radiasi rendah - sebagai baja yang dikenali sebagai Condisoil.
Selain itu AELB mensyaratkan Lynas membina kemudahan deposit kekal (PDF) untuk menyimpan sisa yang sudah dihasilkan sejak 2012 dan berterusan sehingga 2023 iaitu apabila kemudahan proses pemecahan dan larut lesap mereka dipindahkan ke Australia.
Syarat-syarat itu akhirnya dikekalkan.
Menurut Goledzinowski, dia memuji keputusan Malaysia yang dibuat berpandukan sains semasa memberikan isyarat bahawa negara ini merupakan destinasi selamat untuk pelaburan serius dalam sektor pembuatan maju.
Walaupun peraturan industri di Malaysia adalah urusan kerajaan, kata Goledzinowski, keputusan-keputusan mengenai Lynas haruslah berasaskan bukti saintifik daripada kajian dalam dan luar negara.
“Apa yang Australia minta hanyalah agar keputusan-keputusan ini dibuat berasaskan bukti saintifik, dalam pelbagai kajian (oleh) kerajaan Malaysia dan antarabangsa - yang menunjukkan bahawa Lynas secara intrinsik adalah berisiko rendah dan diuruskan dengan baik.
“Lynas menjadi subjek perdebatan hebat di kalangan awam, termasuk di media. Ini bersesuaian dengan sebuah masyarakat yang bebas dan berdemokrasi.
"Tetapi mereka yang turut serta dalam perdebatan ini - termasuk pihak media - patut mendapatkan fakta mereka dengan tepat,” katanya lagi.