Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Saya tak tahu tuduhan berkaitan 1MDB terhadap keluarga Zeti

WAWANCARA | Dr Mahathir Mohamad mengaku yang dia tidak tahu-menahu mengenai dakwaan suami dan dua anak bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz ada menerima wang daripada 1MDB ketika dia melantik Zeti ke dalam Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pada 2018. 

Pembentukan CEP berperanan untuk menasihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu tentang hal ehwal ekonomi.

Kata bekas perdana menteri itu, dia memilih Zeti sebagai ahli CEP berdasarkan pengalaman dan prestasi yang ditunjukkannya sebagai pegawai bank.

“Saya tak tahu, saya tak tahu. Tetapi Zeti menunjukkan prestasi yang sangat bagus sebagai pegawai bank. Sebagai pegawai bank pusat, dia dikenali di seluruh dunia. Saya lantik seseorang yang sangat terkenal.

“Saya tak tahu berkenaan dengan anak dia apa semua itu. Itu hal dialah.

"Tetapi sebagai pegawai bank pusat, dia yang terbaik yang kita pernah ada untuk jangka masa yang lama,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini pada Rabu.

Malaysiakini sebelum itu menyoal Mahathir sama ada dia tahu berkenaan dakwaan bahawa wang 1MDB disalurkan ke akaun yang dikendalikan suami Zeti, Tawfiq Ayman, ketika dia melantik Zeti menjadi sebahagian daripada anggota CEP.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata dia memang ada berhubung dengan Zeti sejak Najib Razak masih lagi menjadi perdana menteri.

Kata Mahathir, Zeti tahu mengenai jumlah wang luar biasa di dalam akaun bank Najib dan mahu mengambil tindakan ke atas bekas perdana menteri itu, tetapi rancangan berkenaan gagal direalisasikan.

Dana masuk ke firma Singapura

“Sebenarnya, semasa Najib (menjadi perdana menteri) lagi saya bercakap dengan Zeti. Zeti yang bagitahu pada saya (bahawa) Najib ada duit banyak dalam bank.

“Dia kata nak ambil tindakan. Dia cuba. Lepas tu entah apa yang Najib buat, dia tak beranilah.

“Kumpulan empat orang itu, ketua polis (ketika itu) cerita pada Najib tentang kumpulan empat orang ini. Peguam negara dipecat.

“Najib hancurkan kumpulan empat orang tersebut,” dakwa Mahathir.

Kenyataan itu merujuk kepada empat pegawai tinggi kerajaan ketika itu, iaitu Peguam Negara Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamad, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Zeti sendiri.

Mereka dikatakan mempunyai rancangan untuk mengambil tindakan ke atas Najib berhubung skandal 1MDB.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka - Gani, Abu Kassim dan Zeti - dikatakan telah dikhianati apabila rancangan mereka dibocorkan kepada Najib sehingga mereka digantikan pada 2016. 

Suami Zeti, Tawfiq Ayman mendapat perhatian pihak berkuasa baru-baru ini ekoran dakwaan wang 1MDB dipindahkan ke sebuah firma yang berpusat di Singapura yang dikendalikan oleh dia dan anaknya, antara 2008 dan 2009.

The Edge melaporkan sejumlah AS$16.22 juta dikatakan telah disalurkan ke sebuah firma Singapura, Iron Rhapsody Ltd.

Laporan itu menyatakan bahawa polis Singapura telah memberitahu Bank Negara pada 2015 dan 2016 mengenai transaksi yang mencurigakan tersebut.

Zeti masih menjadi gabenor Bank Negara pada masa itu.

Dana AS$16.22 juta itu dilaporkan berasal dari syarikat dan akaun bank Jho Low, individu yang dianggap sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB.

Berikutan itu, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mempersoalkan sama ada Zeti - yang kini merupakan pengerusi Permodalan Nasional Bhd - mengetahui mengenai transaksi berkenaan.

C4 juga mempersoalkan apakah Mahathir mengetahui mengenai perkara tersebut ketika dia melantik Zeti dalam CEP ketika pentadbiran PH.

Bulan lalu, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Tawfiq dan salah seorang anaknya dipanggil ke ibu pejabat CCID di Kuala Lumpur semalam bagi membantu penyiasatan berkenaan dakwaan tersebut. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS