Mohamed Azmin Ali yakin audio yang dikatakan perbualan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi merupakan rakaman sahih.
Ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dia membuat kesimpulan itu berdasarkan pengalamannya yang lama berkhidmat bersama Anwar ketika di dalam PKR.
Menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri itu mendakwa Anwar bukan sahaja melakukan penghianatan besar kepada PKR, malah kepada komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH).
"Kita berharap kedua-dua individu ini perlu jujur kepada sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing.
"Saya kira ini merupakan pengkhianatan yang terbesar yang dilakukan Anwar Ibrahim bukan saja kepada partinya sendiri tapi juga kepada anggota komponen PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan.
"Saya sebagai pegawai yang telah berkhidmat dengan beliau sekian lama dan merupakan (bekas) setiausaha sulit beliau, saya yakin itu adalah rakaman yang sahih yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen Gombak itu juga menuntut siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan audio berkenaan.
Dia berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ihya' Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Gombak, di Masjid Gombak Utara, Gombak.
Acara tersebut turut dihadiri Adun Gombak Setia merangkap setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin juga menyatakan yakin bahawa rakaman itu mengandungi suara Anwar, berdasarkan pengalamannya selama 20 tahun dalam PKR.
Azmin merupakan bekas timbalan presiden PKR, manakala Zuraida pula bekas naib presiden parti itu sebelum kedua-duanya melompat untuk membentuk kerajaan PN Februari tahun lalu.
Audio yang tular beberapa hari lalu itu memaparkan perbualan dua pihak yang mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid.
Suara berkenaan antara lain bercakap mengenai Perhimpunan Agung Umno dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk semasa perhimpunan berkenaan.
Kedua-dua mereka menafikan kesahihan klip audio berkenaan.
Namun Anwar semalam mempersoalkan apakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman video tersebut adalah tulen.
'Kerajaan tak bertindak di luar perlembagaan'
Disoal mengenai keputusan PH untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong pembukaan semula parlimen, Azmin berkata setakat ini kerajaan bertindak dalam ruang lingkup perlembagaan berhubung pengisytiaharan darurat.
"Kita tak pernah bertindak di luar perlembagaan dan undang-undang. Maka apa juga tindakan dan keputusan yang akan diambil, adalah bertepatan dengan perlembagaan dan undang-undang negara dan demi kebaikan rakyat dan negara," katanya.
PH sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk mengumpulkan tandatangan semua ahli parlimen yang menyokong pembukaan semula parlimen menerusi satu memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Keputusan itu diambil dalam pemukiman PH di Port Dickson, yang berlangsung 8 dan 9 April lalu.