Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak masuk akal BN batal mesyuarat sebab ada komponen tak terima notis'

Pembatalan mesyuarat Dewan Tertinggi BN dikatakan dibuat selepas parti komponen BN mendakwa tidak menerima notis tentang pemakluman mesyuarat yang sepatutnya berlangsung malam ini, kata sumber Umno.

"Mesyuarat dibatalkan kerana parti komponen BN mendakwa tidak menerima notis tentang pemakluman mesyuarat berkenaan.

"Ia adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan tidak masuk akal, kerana BN cukup cekap dalam hal ini," katanya ketika dihubungi malam ini.

Mesyuarat malam ini dikatakan sepatutnya dihadiri MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Terdahulu Astro Awani melaporkan mesyuarat BN yang dijadualkan berlangsung malam ini dibatalkan tanpa penjelasan.

Menurut laporan berkenaan, pembatalan itu diberitahu melalui pesanan WhatsApp malam ini daripada bahagian komunikasi BN.

Bagaimanapun, ia mengatakan tidak ada penjelasan atau alasan yang ditawarkan untuk pembatalan tersebut.

Ketika dihubungi sekitar jam 6 petang tadi, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup memberitahu Malaysiakini bahawa dia masih menunggu pemberitahuan rasmi mengenai pertemuan itu.

Presiden MIC SA Vigneswaran ketika dihubungi Malaysiakini pula berkata, dia tidak tahu-menahu berhubung mesyuarat tersebut.

“Saya tidak tahu, saya tidak sihat. Biar saya bercakap dengan mereka dulu,” katanya setelah ditanya berhubung kehadiran MIC.

“Biar saya cakap dengan MCA dulu, kerana ada perubahan (pada agenda). Saya akan bercakap dengan Pengerusi BN dahulu,” katanya lagi.

Hubungan antara Umno dan Bersatu didakwa ibarat sudah retak menunggu belah.

Sebahagian Umno yang dipimpin Presidennya Ahmad Zahid Hamidi mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu, manakala pemimpin parti itu yang lain - majoriti memegang jawatan kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) - dilihat mahu kekal bersama Bersatu dalam PN.

PAU baru-baru ini juga bersetuju memberikan mandat kepada Zahid untuk menentukan bilakah tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan PN sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memberi waktu jelas akan pelaksanaan PRU.

MIC juga telah menyatakan secara jelas ketika perhimpunan agung parti itu pada 3 April, bahawa pihaknya akan kekal menyokong Muhyiddin dan gabungan PN.

Bagaimanapun, parti itu kekal setia dengan BN dan gabungan itu juga akan memutuskan sama ada untuk mengikuti jejak Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS