Pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim nampaknya kini menumpukan terhadap pilihan raya umum akan datang berbanding rancangan mengambil alih pentadbiran negara dengan sokongan ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.
Dia menyampaikan pesanan berkenaan ketika sidang media bersama veteran DAP Lim Kit Siang di Kuala Lumpur petang ini.
"Kita harus menumpu perhatian terus ke hadapan, mempersiapkan jentera kita untuk membawa idea-idea benas ke tengah rakyat, dan medan pertempuran di kalangan rakyat itu adalah medan PRU.
"Dan inilah yang menjadi, bagi kita fokus PH," katanya.
"Tapi saya rasa kita manfaatkan untuk melihat ke depan, dan ke depan itu ialah untuk menjadikan idealisme ini, kukuh dan mantap untuk kita menterjemahkan dalam bentuk undi rakyat pada PRU akan datang," jelas Anwar lagi.
Sejak September tahun lalu, presiden PKR mendakwa memiliki nombor ahli parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Pada 23 September 2020, tujuh bulan selepas PN merampas kuasa politik Putrajaya, Anwar mendakwa dia memperoleh majoriti "kukuh dan menyakinkan" di Dewan Rakyat.
Pun begitu, Anwar enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen di pihaknya tetapi berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.
Anwar kemudian memberitahu dia mendapat sokongan 121 ahli parlimen daripada 222 orang MP.
Bagaimanapun, sidang Dewan Rakyat yang diadakan pada bulan Disember 2020, menyaksikan pentadbiran PN meluluskan Belanjawan 2021 dengan 111 undi menyokong - majoriti mudah daripada 220 anggota Dewan Rakyat.
Pada bulan Januari, Anwar sekali lagi mendakwa antara 114 hingga 115 ahli parlimen menentang keadaan darurat yang dilaksanakan PN pada bulan Januari.
Sejak itu, kerajaan PN mengumumkan darurat di seluruh negara, yang diharapkan akan berakhir pada 1 Ogos.
Sementara itu, Anwar mengakui dia 'didekati' untuk menjadi sebahagian konspirasi "Langkah Sheraton" yang meruntuhkan kerajaan PH.
"Isunya sama sekali tidak relevan dan tidak penting. Muhyiddin telah berbincang dengan saya, tetapi sama sekali tidak relevan bagi saya dan tidak ada perbincangan konkrit melangkaui perkara itu," kata presiden PKR itu.
Cubaan Muhyiddin mendekati Anwar didedahkan oleh setiausaha pengelola MPT PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pada wawancara bersama The Malaysian Insight.
Nik Nazmi bekata jika Anwar begitu terdesak untuk menjadi perdana menteri dengan apa jua cara sekalipun, dia mungkin telah menyingkirkan DAP semasa Langkah Sheraton.
Minggu lalu, pemimpin DAP mempertikaikan kisah 'Langkah Sheraton' versi Nik Nazmi itu.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terkejut dengan kenyataan yang mengatakan Anwar Ibrahim dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.
Lim berkata versi yang diceritakan oleh Nik Nazmi itu merupakan perkara yang baru baginya kerana presiden PKR itu sebelum ini tidak pernah bercerita mengenai perkara sedemikian dengannya.
Katanya, Anwar tidak pernah sekali pun menyebut mengenai dakwaan itu walaupun telah berkali-kali bertemu selepas Langkah Sheraton.
Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong pula menyifatkan kenyataan Nik Nazmi kemungkinan untuk mengingatkan agar pemimpin DAP "bersyukur".
"Mungkin pandangan tersebut bertujuan untuk memberi ingatan kepada pimpinan DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar berunding dengan (Presiden Umno) Zahid Hamidi dan (Ahli Parlimen Pekan) Najib Razak dari Umno.
"Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘kluster mahkamah’. Tetapi adalah lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah," kata Liew.