Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP pertikai kisah 'Langkah Sheraton' versi Nik Nazmi
Diterbitkan:  Mar 21, 2021 12:41 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terkejut dengan kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengatakan Anwar Ibrahim dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.

Lim berkata versi yang diceritakan oleh Nik Nazmi itu merupakan perkara yang baru baginya kerana presiden PKR itu sebelum ini tidak pernah bercerita mengenai perkara sedemikian dengannya.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Anwar telah dijemput untuk membawa PKR untuk menyertai Langkah Sheraton, namun presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada satu wawancara portal dalam talian bersama Nik Nazmi, ahli Parlimen Setiawangsa itu mendakwa Anwar pernah ditawarkan untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan tetapi ketua pembangkang itu menolak tawaran tersebut.

Menceritakan perkara yang sama kepada Malaysiakini semalam, Nik Nazmi turut berkata bahawa sekiranya Anwar ingin menjadi perdana menteri telah lama dia membawa PKR untuk sertai Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, dia tidak menyebut secara spesifik pihak yang mengundang Anwar untuk menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton.

Jangan ubah sejarah

Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong, menyifatkan kenyataan Nik Nazmi kemungkinan untuk mengingatkan agar pemimpin DAP "bersyukur".

"Mungkin pandangan tersebut bertujuan untuk memberi ingatan kepada pimpinan DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar berunding dengan (Presiden Umno) Zahid Hamidi dan (Ahli Parlimen Pekan) Najib Razak dari Umno. 

"Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘kluster mahkamah’. Tetapi adalah lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah," kata Liew.


:Pada 1 Julai 2019, tidak lama selepas tersebarnya rakaman yang didakwa melibatkan aksi seks Azmin Ali, seorang penyokong Azmin bertemu dengan saya dan memberitahu bahawa DAP perlu memilih antara Anwar dan Azmin, dan bersedia menerima akibat jika tidak memilih Azmin. 

"Saya memberitahunya bahawa DAP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar berlangsung secara lancar," kenang Liew.

Liew mendakwa bahawa pada Oktober 2019, gerakan politik oleh Hamzah Zainuddin, Hishamuddin Hussein dan Azmin Ali digagalkan.

Tujuan asal Langkah Sheraton singkirkan Anwar

"Rancangan mereka adalah untuk membawa 17 Ahli Parlimen Umno dari kumpulan Hishammuddin, 18 Ahli Parlimen PAS dan 18 Ahli Parlimen GPS, berjumlah 53 untuk menggantikan Ahli-ahli Parlimen DAP (42 orang) dan Amanah (11 orang), juga 53 jumlahnya.

"Dengan membuang DAP dan Amanah, mereka tahu bahawa mereka membuang bilangan yang diperlukan untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri. Tanpa sokongan DAP dan Amanah untuk membolehkan Anwar menjadi PM, Azmin percaya dan yakin bahawa dia boleh mengambil alih PKR," tambah Liew.

"Dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari 2020, Azmin secara terbuka berkempen supaya Dr Mahathir terus bertugas sehingga hujung penggal, sementara pemimpin DAP dan Amanah, termasuk saya, berhujah dengan penuh semangat supaya gabungan PH terus berpegang kepada peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar selepas APEC. 

"Rakaman audio yang tersebar jelas membuktikan bagaimana DAP dan Amanah membela Anwar, dengan masing-masing menanggung risikonya," katanya lagi.

 

Dia menambah bahawa sepanjang minggu rampasan kuasa LAngkah Sheraton dari 23-29 Februari, dia menyertai banyak pertemuan dengan orang kepercayaan Anwar, dan menyimpan catatan mengenainya.

"Idea tawaran kepada Anwar untuk membentuk kerajaan tanpa DAP tidak muncul kerana tujuan asal rampasan kuasa Langkah Sheraton adalah untuk menyingkirkan Anwar," kata Liew.

Anwar tak pernah sebut

Mengulas lanjut dakwaan Nik Nazmi, Lim yang juga ahli parlimen Iskandar Puteri berkata dia telah berjumpa dengan Anwar berkali-kali selepas gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan PH itu.

Namun, katanya Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson tidak pernah sekali pun menyebut mengenai dakwaan itu.

“Saya telah berjumpa dengan Anwar beberapa kali dalam minggu-minggu selepas Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, dan juga dalam bulan-bulan selepas itu, namun tidak ada sekali pun Anwar menceritakan mengenai Langkah Sheraton seperti yang diceritakan oleh Nik Nazmi ini,” katanya.

Untuk rekod, pada 16 Mac Anwar tidak menafikan kemungkinan berlakunya kerjasama antara PKR dengan Umno tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu lima pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk sebagai “kleptokrat.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

Untuk rekod, pentadbiran PH sebelum ini mencapai kata sepakat bahawa Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun hubungan antara kedua-dua individu itu bertambah keruh selepas runtuhnya pentadbiran PH pada Februari 2020 melalui Langkah Sheraton. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS