Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ ambil tindakan terhadap pemilik motosikal
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 3:43 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Selepas tular gambar pelajar sekolah membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar serta dengan seragam yang memaparkan kata-kata kesat terhadap guru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal tersebut.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik motosikal.

Jelasnya, menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar adalah kesalahan yang boleh didakwa di bawah kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

"Bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan juga boleh diambil tindakan di bawah kaedah 6 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (pendaftaran dan pelesenan) 1959.

"Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu gambar tersebut dikongsikan seorang pengguna Facebook yang menyatakan kekesalannya terhadap tindakan biadab pelajar tersebut kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap cikgu.

Gambar itu kemudian dikongsikan lebih 10,000 pengguna yang lain dengan ramai yang menyuarakan kemarahan terhadap pelajar itu.

Sementara itu Hanif Yusabra berkata pihaknya memandang serius isu keselamatan jalan raya dan menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak agar tidak terjerumus dengan aktiviti tidak sihat.

"Kami juga ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang lalu lintas yang ditetapkan supaya tidak membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS