Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Influencer' terima vaksin awal adalah ketua jabatan klinikal - Dr Noor Hisham

  • KEMAS KINI | Penafian oleh Menteri Penyelaras Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Rancangan Hospital Serdang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada pihak pengurusan kanan hospital dan pempengaruh (influencer) terlebih dahulu dilihat tidak membantu menaikkan semangat kakitangan barisan depan hospital tersebut.

Bercakap dengan Malaysiakini, kakitangan hospital itu yang enggan dinamakan berkata pengurusan Hospital Serdang berhasrat memasukkan tiga orang pempengaruh dalam penerima pertama vaksin esok.

Identiti pempengaruh ini belum didedahkan dan masih tidak jelas sama ada mereka juga merupakan petugas barisan hadapan, dengan jumlah pengikut yang besar di media sosial.

Beberapa sumber, termasuk kakitangan Hospital Serdang, berkata antara yang tersenarai sebagai penerima pertama vaksin adalah pegawai pengurusan kanan hospital yang tiada kontak secara terus dengan pesakit.

"Selain pemvaksin, hospital nampaknya mahu memasukkan pegawai pengurusan kanan dan tiga pempengaruh sebagai sebahagian penerima pertama," kata salah seorang sumber kepada Malaysiakini.

Menurut sumber lagi, justifikasi pihak hospital adalah pempengaruh mampu menggalakkan orang ramai untuk menyertai Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Idea menyertakan pempengaruh ini agar mereka menjadi contoh. Tetapi ia mengecewakan, terutama kepada mereka yang benar-benar di barisan hadapan melawan pandemik," kata sumber lagi.

Seorang lagi sumber yang merupakan kakitangan hospital itu turut menyatakan perkara sama.

"Ya, memang ada rancangan seperti itu," katanya ketika dihubungi.

Pengarah Hospital Serdang Dr Rohana Johan tidak memberi maklum balas kepada sejumlah permintaan untuk mengulas perkara ini.

Unit Perhubungan Awam Hospital Serdang pula meminta soalan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Selangor.

Jabatan Kesihatan Selangor belum memberi maklum balas kepada permintaan Malaysiakini untuk mengulas perkara ini.

Hospital Serdang dipilih sebagai antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Ia akan mula memberi vaksin esok (26 Februari).

Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi semalam, dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai penerima pertama.

Berdasarkan rancangan kerajaan, program ini menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurangnya 80 peratus warga dewasa di negara ini.

Ia akan dibuat secara tiga fasa sepanjang tempoh setahun:

Fasa 1 - Berjalan sehingga April. Melibatkan petugas perubatan, petugas penguatkuasaan, pegawai kebajikan, wakil rakyat dan guru yang mempunyai komorbiditi.

Fasa 2 - Bermula April hingga Ogos. Melibatkan 9.4 juta warga yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi. Mereka termasuk orang kelainan upaya, warga berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang memiliki komorbiditi seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Fasa 3 - Bermula Mei hingga Februari 2020. Melibatkan semua warga berusia 18 tahun ke atas.

Menteri Penyelaras Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin bagaimanapun menafikan perkara itu.

"Ini tidak benar. Saya sudah bercakap dengan (Ketua Pengarah Kesihatan) Dr Noor Hisham Abdullah. Dia akan keluarkan kenyataan.

"Tolong berhenti sebar berita berdasarkan orang tak tak dinamakan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pempengaruh yang dikatakan termasuk dalam senarai penerima awal adalah ketua jabatan di hospital.

"Ia bagi menggalakkan petugas barisan hadapan untuk mengambil vaksin.

"Tiada potong barisan (dalam menerima vaksin) dan tiada pempengaruh bukan perubatan akan dimasukkan, termasuk daripada kakitangan pentadbiran," katanya di Twitter.

Baca respons lanjut KKM dan Noor Hisham di sini.

 [Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS