Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buku '30 Dalil' jadi bahan kempen singkir Zahid dari Umno

Perbezaan pandangan dalam Umno membabitkan pendirian parti - sama ada menyokong Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya - kini dikatakan semakin parah sehingga ada usaha digerakkan untuk menyingkirkan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut sumber antara langkah yang diambil dalam perseteruan dalaman itu ialah kempen propaganda bertulis yang disasarkan khusus terhadap Ahmad Zahid dengan menjadikan peribadi ahli parlimen itu sebagai asasnya.

Buku terjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno itu dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno sama ada dalam bentuk cetakan atau digital.

Ia didakwa mula tersebar sejak bulan lalu.

Antara isu yang dibangkitkan dalam buku itu ialah kes-kes mahkamah Ahmad Zahid, rekod buruk dan kegagalan Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sejak dia menjadi presiden dan penghijrahan ahli parlimen Umno ke parti lain.

Turut dijadikan 'dalil' ialah dakwaan Ahmad Zahid juga mengadakan kerjasama dengan DAP.

Untuk menangkis hujah-hujah tersebut, sebuah buku lain diterbitkan bagi mempertahankan Ahmad Zahid.

Untuk rekod penggunaan istilah "dalil" dalam penerbitan buku politik negara bermula seawal hujung 1990-an apabila ada kumpulan tertentu menghasilkan buku dengan judul sebegitu dalam kempen mengetepikan Anwar Ibrahim dari Umno.

Mahu kekalkan kedudukan, jawatan

Ketika penerbit buku menyerang Ahmad Zahid itu tidak diketahui, sumber kem ahli parlimen Bagan Datuk mempunyai teori tersendiri: naskhah yang menyerang bekas timbalan perdana menteri itu adalah hasil tangan pihak yang cenderung bekerjasama dengan PN.

Untuk rekod PN merupakan gabungan beberapa parti yang diketuai bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin. Ahli parlimen Pagoh itu kini mengetuai Bersatu dan menjadi perdana menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan tahun lalu.

Seorang sumber memberitahu ia mungkin dihasilkan kumpulan "kluster menteri" iaitu merujuk kepada kelompok tidak rasmi membabitkan pemimpin Umno yang menyertai kabinet Muhyiddin.

Ketika ini ada sembilan ahli parlimen Umno dalam kabinet PN termasuk empat daripadanya adalah anggota majlis tertinggi (MT) parti itu.

Kata sumber "kluster menteri" memang mahu Umno meneruskan kerjasama dengan Bersatu bagi membolehkan kedudukan mereka dalam kerajaan dikekalkan.

Bagaimanapun katanya sentimen tersebut tidak dipersetujui ahli akar umbi.

Usul agar kerjasama Umno dengan Bersatu ditamatkan dibuat lebih 100 bahagian parti sebelum ini dan diterima MT. Ia hanya menunggu masa untuk disahkan oleh perhimpunan agung tahunan Umno sebelum dilaksanakan.

"Kluster menteri tak mahu mengikut keputusan parti. Mereka ada wang dan kuasa," kata sumber terbabit.

Justeru katanya apa yang dilakukan kumpulan berkenaan ialah, mereka membiayai gerakan untuk menyingkirkan Ahmad Zahid.

Sumber juga mendakwa gerakan berkenaan dibantu oleh dua pemimpin penting sebuah parti lain yang mahu Umno kekal bersama Bersatu.

"Kami juga percaya mereka (kluster menteri) menyediakan data keanggota Umno untuk membolehkan buku tersebut diedarkan.

"Hal itu kerana ahli Umno yang menerima buku tersebut adalah orang yang ada dalam senarai keanggotaan terkini," katanya.

Tiada keputusan konkrit

Seorang sumber lain yang dihubungi Malaysiakini turut mengakui kewujudan buku 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno namun enggap membuat sebarang spekulasi mengenai dalangnya.

Malaysiakini juga menghubungi beberapa menteri yang didakwa menjadi kumpulan penentang Ahmad Zahid bagi mendapatkan komen mereka. Bagaimanapun setakat berita ini ditulis tiada seorang pun yang memberikan respon.

Pembantu dua menteri Umno yang dihubungi pula menafikan bos mereka terbabit dalam kempen mengetepikan Ahmad Zahid. Namun mereka enggan dipetik kerana tidak mendapat kebenaran pihak atasan.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama menteri yang dikaitkan dengan kumpulan tersebut kerana sedang menunggu komen mereka.

Isu kerjasama dengan Bersatu menjadi tumpulan utama mesyuarat MT Umno yang diadakan di Janda Baik di Bentong, Pahang pada Jumaat lalu.

Namun beberapa anggota MT Umno yang dihubungi Malaysiakini memberikan pelbagai versi menganai apa yang berlaku dalam pertemuan tersebut.

Kem Ahmad Zahid mendakwa majoriti anggota MT Umno menyokong langkah parti mahu meninggalkan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang, manakala kumpulan satu lagi mendakwa sebaliknya.

Sumber lain pula memberitahu tiada keputusan konkrit dicapai dalam mesyuarat berkenaan.

Ada sumber membayangkan keputusan muktamad - sama ada Umno kekal menyokong PN atau tidak - hanya akan dicapai dalam perhimpunan agung tahunan parti yang akan diadakan nanti.

Ia asalnya dijadualkan berlangsung pada akhir Jan lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana darurat. Belum ada tarikh baru perhimpunan berkenaan diumumkan setakat ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS