Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin mohon mahkamah perintah AG nasihat PM letak jawatan

Khairuddin Abu Hassan, penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad, memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah bagi mengarahkan peguam negara (AG) Idrus Azizan Harun menasihati Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Khairudddin, menerusi peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lewat tengah hari semalam.

Ini adalah satu lagi tindakan perundangan setelah cabaran undang-undang dikemukakan Khairuddin ke atas nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat.

Berdasarkan salinan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu, Khairuddin meminta perintah mandamus ke atas Idrus selaku responden untuk menasihati Muhyiddin menghadap Seri Paduka untuk meletakkan jawatannya selaku perdana menteri.

Dia mendakwa Idrus telah gagal melaksanakan tanggungjawab yang berkewajipan sebagai peguam negara untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong pada 9 Januari bahawa Muhyiddin sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli parlimen, dan oleh itu, katanya, tidak lagi berkelayakan memberi apa-apa nasihat sebagai perdana menteri kepada baginda.

Pada 9 Januari, ahli parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah teraju Muhyiddin, menjadikan sokongan PN jatuh kepada hanya 110 daripada 220 wakil rakyat di Parlimen.

Khairuddin turut meminta perintah mandamus bagi mengarahkan Idrus menasihati Muhyiddin bahawa dia (Muhyiddin) sudah tidak lagi, secara prima facie, mempunyai sokongan atau kepercayaan ahli dewan rakyat, ekoran penarikan sokongan oleh Jazlan dan juga ahli parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Pada 12 Januari, Nazri pula mengumumkan penarikan balik sokongannya kepada Muhyiddin, dan menyifatkan langkah Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai pengakuan tidak langsung bahawa ahli parlimen Pagoh itu sudah hilang majoritinya di parlimen.

“Responden sebagai peguam negara Malaysia juga telah gagal menjalankan kewajipannya dan/atau menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati perdana menteri untuk meletakkan jawatan jemaah menteri kerana perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, sedangkan responden sebagai peguam negara Malaysia mempunyai setiap peluang dan/atau kewajipan untuk berjumpa dan/atau menasihati perdana mented berkenaan perkara ini,” kata Khairuddin.

Dia turut mendakwa memandangkan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, dia tidak lagi berkelayakan di bawah perlembagaan persekutuan untuk memberi apa-apa nasihat sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari.

Pada hari tersebut, Muhyiddin dalam rombongan yang turut melibatkan Idrus, telah menghadap Seri Paduka bagi menasihati baginda berhubung pengisytiharan darurat untuk membendung dan melandaikan lengkuk kes positif Covid-19 negara.

“Saya dinasihati oleh peguamcara saya yang saya percaya sebagai benar bahawa tindakan responden sebagai peguam negara Malaysia adalah tidak adil dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa serta bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan asasi dan mahkamah yang mulia ini boleh memberikan suatu pedntah pengisytiharan dan mandamus,” kata Khairuddin menerusi afidavit sokongan.

Sejak pelaksanaan darurat, beberapa pihak telah mencabar nasihat Muhyiddin berhubung pengisytiharan darurat di mahkamah, antaranya presiden PKR Anwar Ibrahim dan NGO seperti Bersih.

[Baca laporan asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS