Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas timbalan menteri kesihatan cadang 3 langkah kawal penularan Covid-19
Diterbitkan:  Jan 7, 2021 3:51 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Susulan peningkatan kes harian Covid-19 mutakhir ini, Ahli Parlimen Gopeng Lee Boon Chye mengemukakan tiga cadangan yang menurutnya dapat meletakkan penularan wabak itu di bawah kawalan.

Lee yang merupakan bekas timbalan menteri kesihatan berkata, sistem kesihatan awam kini dilihat tidak mampu menampung jumlah pesakit yang meningkat dan menambah lagi cabaran kepada kakitangan kesihatan.

"Saya cadangkan tiga langkah berikut dilaksanakan serta-merta supaya keadaan tidak menjadi sehingga tak terkawal," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, cadangan pertama adalah menetapkan sasaran agar kontak rapat dikesan, diuji dan diasingkan dalam tempoh 48 jam bagi menyekat penularan wabak.

“Ini boleh dilakukan melalui penambahan 10,000 anggota tambahan (terdiri dari anak muda) dalam kesihatan awam serta-merta untuk pengesanan kontak.

“Satu rangkaian pengesanan kontak boleh ditubuhkan dengan kerjasama dengan pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua kampung dan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya sambil menambah dia telah mengemukakan cadangan terbabit sejak 28 April tahun lalu.

Pada 3 Jan lalu, Malaysiakini melaporkan beberapa pesakit Covid-19 lewat dihubungi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pengesanan kontak, malah ada yang hanya dihubungi selepas keluar daripada hospital.

Lee turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di kawasan yang ada penularan dalam komuniti dan jangkitan di luar kawalan.

Selain itu, dia juca mencadangkan agar vaksin diberi secara percuma dan sukarela kepada kumpulan sasar sahaja.

“Kumpulan sasar terdiri daripada mereka yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan mereka yang berisiko komplikasi apabila dijangkiti, termasuk pasukan di KKM, penguatkuasa (polis dan tentera), bomba, petugas di penjara dan pusat tahanan serta pusat jagaan, guru, warga emas dan mereka yang mengidapi penyakit kronik," katanya.

Pada masa sama, katanya, doktor swasta diberi ruang untuk memberi vaksin berdasarkan permintaan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sistem penjagaan kesihatan kini pada "tahap genting", antaranya dengan kemungkinan tidak dapat menampung pesakit di kemudahan rawatan akibat pertambahan jumlah yang tinggi.

KKM juga berdepan masalah logistik dan sedang menimbang untuk menempatkan pesakit tanpa atau dengan gejala ringan di rumah atau di hotel.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS