Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kakitangan positif Covid-19: Rapid Rail jamin LRT selamat
Diterbitkan:  Dec 26, 2020 8:45 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Rapid Rail Sdn Bhd memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat meskipun seorang pegawai stesen transit aliran ringan (LRT) di Stesen Bandaraya didapati positif Covid-19.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi.

Selain itu, katanya kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren juga sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan para penumpang.

"Staf berkenaan telah disahkan positif Covid-19 dua hari lepas dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Staf berkenaan bertugas kali terakhir pada 19 Dis lepas dan tidak bekerja sejak tarikh berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tidak mempunyai kontak dengan para penumpang ketika bertugas,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan pihak pengurusan Rapid Rail, selaku operator LRT laluan Kelana Jaya, telah melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan pada hari pegawai itu disahkan positif berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan pegawai stesen itu turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah SOP KKM.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas, telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang," menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, khususnya memakai pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS