Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat esok.
Dalam satu kenyataan, gabungan itu juga menggesa semua ahli parlimen daripada pembangkang mahupun kerajaan untuk berbuat demikian.
"Pakatan Harapan sebelum ini telah menyatakan bahawa kami akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya akan membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga. Ini akan berlaku esok.
"Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menggesa agar semua ahli parlimen, sama ada di sebelah pembangkang mahupun dari kalangan penyokong kerajaan, yang memahami bahawasanya belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga esok," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.
Menurut mereka, pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 sebelum ini tidak memenuhi apa yang dipohon dan diharapkan oleh ramai ahli parlimen dan rakyat.
"Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa apa yang diumum Menteri Kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa yang dipohon dan diharapkan ramai ahli parlimen malah juga rakyat amnya.
"Ini termasuklah isu KWSP, isu moratorium pinjaman bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi," jelasnya.
Esok adalah bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 yang memerlukan undian daripada anggota parlimen.
Pada mulanya pembangkang membayangkan untuk menolak usul itu semasa di peringkat dasar namun sebaliknya ia diluluskan apabila ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengarahkan tiada usaha mencabarnya dibuat melalui undian belah bahagi.
Belanjawan itu juga tidak dicabar semasa dibentang di peringkat jawatankuasa.
Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan sidang media bagi menyeru anggota parlimen menolak undian kali ketiga belanjawan esok.
Mahathir berkata, ahli parlimen perlu memikirkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan sendiri atau jawatan ketika rakyat ketika ini cukup marah kepada kerajaan.
Justeru katanya, mereka berdua sedia menawarkan diri untuk membantu memulihkan negara dan membantu rakyat.
"Ada kemungkinan esok, bila undian untuk bacaan ketiga belanjawan, ada kemungkinan kerajaan akan kalah.
"Saya harap mereka yang berada di parlimen akan tidak memikirkan diri mereka sendiri, tetapi memikirkan tentang negara," kata Mahathir.