Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Batu Sapi: BN Sabah akan sokong calon GRS - Bung Moktar
Diterbitkan:  Nov 13, 2020 4:37 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

BN negeri akan menyokong calon parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekiranya gabungan itu memilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata laporan.

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dipetik Bernama berkata pihaknya mendengar banyak khabar angin, antaranya seorang pemimpin Bersatu di kawasan Batu Sapi berminat untuk bertanding, tetapi sehingga kini tiada calon daripada GRS disahkan bertanding.

“Sesiapa sahaja kita bantu, kita dalam gabungan (GRS). 

"Khabar angin itu semua orang ada dengar, belum pasti siapa dicalonkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pada 1 November menggesa supaya semua parti politik memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi susulan situasi semasa di Sabah yang dilanda teruk wabak Covid-19.

Mohamad mengulas kebimbangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung pilihan raya yang perlu diadakan ketika wabak Covid-19 ini, Mohamad berkata BN telah membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Bahkan, timbalan presiden Umno juga menggesa semua parti lain mengambil keputusan serupa sebagai menghormati mendiang Liew Vui Keong, bekas ahli parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia pada 2 Oktober.

Terdahulu, Muhyiddin berkata beliau bimbang PRK Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan memburukkan krisis Covid-19 negara, ketika tiada ruang dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri Sarawak untuk ia ditangguhkan.

Kecuali, kata Muhyiddin, darurat diisytiharkan.

Ekoran kematian Liew (gambar, bawah) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 5 Dis, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi pula mengumumkan pada 8 Oktober lalu telah mengumumkan gabungan yang diterajuinya dan Parti Cinta Sabah (PCS) memutuskan tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Jaujan Sambakong pada 6 Nov menyatakan parti itu sudah mengenal pasti calon.

GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS, membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 baru-baru ini.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), dan Parti Progresif Sabah (SAPP), manakala BN dianggotai Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS