Pandangannya berkenaan keadaan di Perancis telah diberi gambaran yang salah dengan tujuan menunjukkan dirinya sebagai menggalakkan keganasan, menurut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir berkata, perenggan ke-12 kenyataannya dibaca di luar konteks keseluruhan kenyataan berkenaan perkara itu.
"Mereka yang berbuat demikian hanya membangkitkan sebahagian daripada perenggan tersebut iaitu 'Muslim ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu.
"Mereka berhenti di situ dan membayangkan saya mempromosikan pembunuhan orang Perancis.
"Jika mereka membaca kenyataan itu secara keseluruhan, terutama ayat seterusnya iaitu 'Tetapi secara keseluruhan Muslim tidak mengguna pakai aturan hukuman darah dibalas darah. Muslim tidak berbuat demikian. Orang Perancis (juga) tidak harus buat demikian. Perancis patut mengajar rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain'," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikut adalah kenyataan asal Dr Mahathir dalam bahasa Inggeris:
"Muslims have a right to be angry and to kill millions of French people for the massacres of the past. But by and large the Muslims have not applied the “eye for an eye” law. Muslims don’t. The French shouldn’t. Instead the French should teach their people to respect other people’s feelings."
Katanya lagi, oleh kerana putar belit dan tafsiran di luar konteks oleh pihak yang memetik kenyataan itu, laporan dibuat terhadapnya dan dia dituduh sebagai menggalakkan keganasan di Facebook dan Twitter.
"Apa yang dipromosikan dengan reaksi terhadap kenyataan saya adalah untuk membangkitkan kebencian Perancis terhadap orang Islam," katanya lagi.
Dr M kecam Presiden Perancis susulan kenyataan tentang Islam
Twitter padam ciapan Dr M kerana 'langgar peraturan'
Semalam Twitter meletakkan tanda pada ciapan Mahathir tersebut atas dasar "mengangkat keganasan".
Apabila kenyataan itu diulang ciap, ia akan digantikan dengan pesanan yang mengatakan "Ciapan ini mencabuli Peraturan Twitter berkaitan mengangkat keganasan".
Tidak lama kemudian, Twitter membuat keputusan untuk memadam ciapan tersebut atas dasar melanggar peraturan laman sosial itu.
Ciapan itu sebahagian daripada kenyataan Mahathir yang antara lain membidas Presiden Perancis Emmanuel Macron susulan pembunuhan seorang guru di Perancis, yang antara lain mengisytiharkan "perang" terhadap apa yang disifatkannya sebagai "pemisah Muslim" dan menyifatkan Islam sebagai agama "dalam krisis".
Kenyataan Mahathir turut disiarkan secara penuh di Facebook. Hantaran itu juga telah dipadam.
Kenyataan itu dikritik ramai pengguna media sosial dan dilaporkan media antarabangsa, antaranya Detik, Al Jazeera, South China Morning Post, New York Post dan agensi Reuters.
Setiausaha Dalam Negeri untuk Sektor Digital Perancis, Cedric O mengatakan dia telah berhubung dengan pegawai Twitter untuk menggesa akaun Mahathir digantung serta-merta.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski pula berkata walaupun dia yakin Mahathir tidak menyokong keganasan, tetapi kenyataan seumpama itu dalam keadaan semasa boleh menyebabkan akibat buruk.
Mengulas lanjut, Mahathir mendakwa usaha pihaknya untuk menjelaskan konteks kenyataan itu kepada Twitter dan Facebook tidak berjaya.
"Facebook dan Twitter meminta pentadbir laman saya untuk memadam hantaran itu. Di sebalik usaha untuk menjelaskan konteksnya, kenyataan tersebut telah dipadam.
"Saya tak boleh buat apa-apa terhadap keputusan itu. Bagi saya, memandangkan mereka adalah pejuang kebebasan bersuara, mereka juga sekurang-kurangnya perlu benarkan saya menjelaskan dan mempertahankan pendirian," katanya.
Katanya lagi, tindakan laman sosial itu telah memadamkan keseluruhan perenggan tersebut, termasuk berkenaan orang Islam yang tidak membalas dendam terhadap ketidakadilan di masa lalu dan rayuannya agar Perancis lebih sensitif dan menghormati kepercayaan orang lain.
Pada 16 Oktober lalu, seorang guru, Samuel Paty dibunuh Abdoullakh Abouyedovich Anzorov - seorang pelarian Muslim beragama Islam - kerana didakwa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan majalah Charlie Hebdo kepada pelajarnya ketika kelas kebebasan bersuara.
Ucapan Macron itu, yang diucapkan ketika pengkebumian Paty, mencetuskan kemarahan sejumlah negara majoriti Muslim - termasuk Malaysia - serta mengundang tindak balas, seperti pembunuhan di gereja Perancis serta serangan di kedutaan negara itu di Arab Saudi.