Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musang King: Perintah penangguhan sementara dilanjut ke 9 Disember

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini melanjutkan perintah penangguhan sementara terhadap tindakan penguatkuasaan terhadap kebun durian haram tanpa lesen di Raub, Pahang sehingga 9 Disember.

Keputusan itu dibuat hakim mahkamah tinggi Zainal Azman Abdul Aziz, menurut peguam yang mewakili 111 pekebun durian, Siew Choon Jern.

Siew memberitahu Malaysiakini bahawa selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Zainal menetapkan tarikh 9 Disember untuk keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan para pekebun terhadap keputusan kerajaan negeri memberikan hak pajakan dan penggunaan tanah seluas 5,357 ekar (2,168 hektar) kepada RPDR-PKPP.

RPDR-PKPP adalah usahasama antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dengan Royal Pahang Durian Resources (RPDR).

Pejabat Tanah Daerah Raub, Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, PKPP dan RPDR dinamakan sebagai responden dalam kes ini.

Untuk rekod, mahkamah mengeluarkan perintah penangguhan sementara pada 28 Ogos selama dua bulan, iaitu sehingga hari ini (28 Oktober).

Kerajaan Pahang memberikan hak pajakan dan penggunaan tanah itu kepada RPDR-PKPP pada Jun lalu. Susulan itu, satu notis dikeluarkan untuk mengambil semula tanah tersebut pada 24 Ogos.

Sementara itu, menurut Bernama, peguam kanan persekutuan Noor Fadzila Ishak berhujah bahawa mereka bukan pemilik tanah kebun mereka dan juga tidak memperoleh lesen pendudukan sementara (TOL) untuk menggunakan tanah tersebut sebagai kebun mereka.

Dengan demikian, dia berhujah bahawa mereka adalah penceroboh yang tidak memiliki locus standi untuk memfailkan kes tersebut.

Dia juga menyatakan bahawa para pekebun berkenaan melakukan kesilapan dalam memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Sebaliknya, katanya, para pekebun berkenaan sepatutnya mengemukakan notis rayuan berhubung keputusan pentadbir tanah dalam waktu tiga bulan setelah notis itu disampaikan kepada mereka.

Siew dalam hujah balas berkata sama ada pekebun berkenaan adalah "penceroboh" atau tidak, ia tidak boleh dihujahkan pada peringkat pendengaran substantif; oleh itu mereka harus dibenarkan memulakan proses semakan kehakiman.

Hingga kini terdapat lebih 200 pekebun durian di Raub yang telah memfailkan saman untuk mencabar "skim pengesahan tanah" dalam dua saman berasingan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS