Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya juga cadang Umno terus sokong PN, kata Najib
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 3:27 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menyangkal dakwaan bahawa dia mahu membawa Umno ke arah kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran Facebook hari ini, Najib berkata kerjasama dengan Anwar - yang menurutnya dengan syarat tidak melibatkan DAP - adalah satu daripada beberapa cadangan yang dibawanya.

Cadangan itu disuarakan ketika mesyuarat ahli Parlimen BN di PWTC, Kuala Lumpur semalam.

Keputusan mesyuarat kemudian dibincang oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang akhirnya membuat keputusan untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) tetapi mahu kerjasama lebih baik yang berasaskan nilai "penghormatan" dan "konsensus politik".

"Keputusan ini juga satu daripada tiga cadangan yang saya sebut semalam," kata Najib.

Katanya, cadangan meneruskan kerjasama itu dengan syarat Umno "diberikan lebih peranan dalam kerajaan untuk menentukan halatuju ekonomi".

Dia tidak terlibat dalam mesyuarat Umno malam tadi kerana bukan seorang anggota MT.

Menurut Najib, selain kerjasama dengan Anwar atau PN, dia turut mencadangkan agar Umno menggesa penetapan tarikh untuk PRU setelah wabak Covid-19 dalam keadaan terkawal.

Mesyuarat Umno dan ahli Parlimen BN dibuat susulan kegagalan kerajaan PN mendapatkan keizinan pengisytiharan darurat.

Cadangan itu ditolak Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memberi amaran agar ahli Parlimen berhenti membuat langkah politik yang boleh mengancam kestabilan kerajaan.

Dalam pada itu, Najib membidas sesetengah pihak yang menggambarkannya sebagai sekutu Anwar.

"Ada yang tuduh saya pencinta atau kawan baik Anwar. Malah ada mengeluarkan kembali foto saya menziarahi Anwar di hospital.

"Saya melawat ramai pemimpin politik ketika mereka sakit biarpun tidak sehaluan dalam politik," katanya.

Dia juga menafikan usaha membuat rundingan bagi mengelakkan pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadapnya, dengan berkata tuduhan sama turut dilemparkan apabila Umno bekerjasama dengan PN.

"...Walaupun saya kata saya tidak mahu jawatan dan saya mahu kes-kes saya diteruskan untuk bersihkan nama saya melalui proses pengadilan," katanya.

Najib kini dibicarakan untuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Dia juga disabit bersalah atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Kes itu kini dalam proses rayuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS