KEMASKINI 2.30PM| Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan menafikan bahawa gabungan itu sedia bersama Umno untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
Ia susulan laporan BH Online yang memetik Aminolhuda sebagai berkata bahawa PH Johor sedia menjalinkan hubungan dengan Umno bagi tujuan itu.
"Ketika wartawan tersebut bertanya saya, saya telah menyatakan bahawa pembentukan kerajaan boleh dibuat dengan mengadakan kerjasama dengan mana-mana Adun secara individu yang bersetuju menerima konsep PH ++ bukan bersama parti secara en bloc seperti yang didakwa.
"Saya mengulangi pendirian saya seperti sebelum ini bahawa pembentukan tersebut dilakukan atas dasar keinginan Adun yang mahu membentuk kerajaan secara stabil bukan dalam keadaan seperti sekarang ini di mana kerajaan di Johor terbentuk berdasarkan majoriti yang terlalu tipis," katanya dalam satu kenyataan.
Aminolhuda berkata, kestabilan politik akan dapat merangsang ekonomi negeri terutama dalam suasana Covid-19 dan membantu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Sehubungan itu pembukaan pintu untuk mana-mana Adun menyokong PH Johor amat dialu-alukan tanpa ada sebarang 'demand' atau permintaan berkepentingan peribadi dalam usaha mengekalkan mandat rakyat yang diberikan sewaktu PRU 14 yang lalu.
"Saya juga berharap kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar semalam tidak disalah ertikan dengan menyatakan bahawa PH Johor mempelawa Umno untuk bersama," jelasnya yang juga pengerusi Amanah Johor.
Terdahulu, DAP Johor dalam kenyatannya berkata PH Johor tidak pernah membincangkan hasrat untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama Umno.
DAP Johor berkata, Majlis Pimpinan PH Johor juga mengamalkan pendekatan musyawarah dan sebarang usaha membentuk kerajaan haruslah dalam makluman dan persetujuan bersama.
Semalam BH Online melaporkan kanyataan Aminolhuda bahawa PH Johor bersedia menerima Adun khususnya yang pernah bersama PH ketika Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mahupun mana-mana Adun Umno untuk kembali berkuasa.
"Jika Umno membuat keputusan keluar PN, kita sama-sama perlu kembalikan mandat rakyat sewaktu pilihan raya lalu dengan menitikberatkan soal kebajikan dan hak rakyat, bukannya merebut-rebut mengejar jawatan," katanya seperti dilapor.
Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).
Parti itu juga memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Umno pada masa ini memiliki 14 kerusi Dun di Johor, selain Bersatu (14 kerusi), MIC (dua kerusi) dan PAS yang memenangi satu kerusi pada pilihan raya umum 2018.
PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah pula menguasai 27 kerusi Dun dengan DAP memiliki 14 kerusi, diikuti Amanah (sembilan kerusi Dun) dan PKR (empat kerusi Dun).