Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Tidak wujud perjanjian dengan mana-mana pihak
Diterbitkan:  Oct 13, 2020 3:19 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan wujud sebarang perjanjian bagi "membebaskan" individu tertentu apabila kerajaan baru pimpinannya dibentuk nanti.

Kata Anwar dia menjunjung tinggi keluhuruan perlembagaan dan kebebasan badan kehakiman serta berhasrat untuk terus mereformasikan pentadbiran negara.

"Pertama kerajaan yang bakal dibentuk ini adalah inklusif dan bukan dibentuk atas dendam peribadi kepada mana-mana pihak-pihak.

"Tidak timbul isu wujud perjanjian dengan mana-mana pihak.

"Ia adalah dakwaan tidak berasas serta tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya beberapa pemimpin Umno telah mengadakan perjanjian dengan Anwar bagi memberikan sokongan kepada pemimpin PKR itu.

Ini dengan syarat Anwar akan menggugurkan kes yang dihadapi oleh beberapa pemimpin Umno itu selepas membentuk kerajaan.

Anwar pada 23 Sept lalu mengumumkan yang dia memilik majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru.

Susulan itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada wakil rakyat parti itu menyatakan sokongan kepada Anwar.

Jelas Zahid yang dia tidak mampu menghalang sekiranya wakil rakyat Umno ingin menyokong pemimpin PKR itu.

Dalam pada itu Anwar ketika ditanya sama ada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong usahanya bagi menubuhkan kerajaam baru.

Katanya, dia sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam kerajaan baru yang akan bentuknya nanti.

"Seperti yang saya katakan, ini adalah kerajaan (baru) yang inklusif.

"Saya tidak dapat menolak siapa pun untuk ikut serta, dengan syarat mereka menerima dasar dan parameter yang jelas dari segi tata kelola kerajaan yang baik dan reformasi institusi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS