Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PH kata sanggup mati demi PRN Sabah, tak sokong kuarantin wajib'
Diterbitkan:  Oct 6, 2020 2:52 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempertahankan menteri di jabatan perdana menteri Zulkifi Mohamad yang menjadi sasaran kecaman setelah disahkan positif Covid-19 semalam.

Kata Najib kebenaran perlu dipertahankan meskipun bekas mufti Wilayah Persekutuan itu banyak mengecamnya dan mempertahankan kerajaan Perikatan Harapan (PH) ketika menjadi mufti.

"Walaupun menteri agama kerajaan PN ini banyak mempertahankan PH serta mengecam saya semasa dia Mufti WP (Wilayah Persekutuan termasuk) mempersoalkan sumpah laknat saya di masjid (lagipun dia penyokong tegar Liverpool), saya rasa ada keperluan untuk mempertahankan kebenaran.

“Ramai yang maki dia langgar kuarantin selepas pulang dari Sabah. Lalu dia menghadiri banyak acara awam.

“Tapi dia pulang dari Sabah pada 24 September iaitu sebelum arahan saringan dan kuarantin wajib bagi semua yang pulang dari Sabah dikeluarkan pada 26 September,” kata Najib di Facebook.

Bersama hantaran itu ialah tangkap layar Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) terpakai untuk individu yang pulang dari 27 Sept hingga 10 Okt.

Zulkifli pulang dari Sabah pada 24 Sept lalu, dan sejak itu menghadiri pelbagai acara dan program yang dihadiri orang ramai, sebelum dia disahkan positif Covid-19 semalam.

Ketika Zulkifli menghadiri program berkenaan, ada kalanya prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi, seperti pemakaian pelitup muka dengan betul dan penjarakan fizikal satu meter.

Dalam hantarannya semalam, senator itu meminta maaf atas "kelemahan dan kekurangan" di pihaknya, dan meminta semua pihak yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya antara 24 Sept hingga 4 Okt lalu agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.

'PH kata sanggup mati dari serah kuasa'

Najib turut menyelar PH dan NGO yang katanya membantah cadangan Menteri Kesihatan Adham Baba untuk melaksanakan kuarantin wajib bagi mereka yang pulang ke Semenanjung setelah mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Dia merujuk kenyataan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mempersoalkan apakah PN cuba menghalang pengundi Sabah di Semenanjung untuk pulang mengundi berikutan kenyataan Adham yang memberi bayangan kuarantin wajib dikenakan kepada mereka sekembalinya ke Semenanjung.

“Masa itu, PH kata mereka sanggup mati daripada menyerah kuasa kepada PN. Lalu mereka memaksakan PRN Sabah walaupun dibantah kuat BN,” katanya dipercayai merujuk kenyataan bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal pada Ogos.

"Jika masa itu PH menyokong kerajaan PN untuk mulakan kuarantin wajib lebih awal dan tidak membantah, lebih ramai kes Covid di Semenanjung yang berasal dari Sabah mampu dielak, " katanya.

Adham sebelum ini dilapor berkata KKM akan meneliti keperluan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke semenanjung dari Sabah selepas PRN, namun hal itu kemudiannya dinafikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Najib turut mengkritik kerajaan PN yang sepatutnya membenarkan undi pos bagi warga Sabah di luar negeri, selain sepatutnya tidak mengeluarkan arahan kuarantin untuk tiga hari sahaja.

“Patut wajibkan 14 hari sebab itu adalah tempoh inkubasi Covid-19 walaupun ramai yang pilih (termasuk saya) untuk kuarantin diri secara sukarela selama 14 hari.

“Tapi nasi dah jadi bubur. Namun PH dan PN tidak patut mengulangi kesilapan besar ini pada masa depan.

“Saya juga berdoa agar menteri agama pulih sepenuhnya dengan secepat mungkin,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS