Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika berjaya, Anwar akan di bawah telunjuk Zahid, Najib'
Diterbitkan:  Sep 24, 2020 5:24 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mengesahkan sokongan parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai bersyarat.

Begitu juga, katanya dengan sokongan Umno kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru juga pastinya bersyarat.

"Hari ini, jelas apa yang saya jangka akan berlaku sedang berlaku dan kenyataan Ahmad Zahid semalam mengesahkan bahawa sokongan dari Umno memang bersyarat.

"Dan sokongan Umno kepada Anwar juga pasti bersyarat walau tidak diumum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merumuskan pemerhatiannya, Dr Mahathir percaya jika Anwar berjaya membentuk kerajaan baru, dia akan tunduk kepada Ahmad Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Najib dan Ahmad Zahid.

“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin (Yassin) dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan,” kata bekas perdana menteri itu.

Semalam, Anwar mendakwa dia telah mendapat sokongan majoriti yang "kuat dan meyakinkan" daripada anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Sehubungan itu, dia mengumumkan bahawa kerajaan Muhyiddin telah jatuh. Menurut Anwar, semalam, sokongan dimiliknya agak besar dan bukannya majoriti tipis. Ini, termasuk sokongan daripada majoriti ahli Parlimen Melayu.

Sejurus pengumuman Anwar, Ahmad Zahid kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang beliau tidak mampu menghalang ahli Parlimen Umno, BN menyokong Anwar.

Kata Ahmad Zahid, berdasarkan maklumat yang diperolehinya wakil rakyat Umno, BN menyokong Anwar agak ramai.

Tambah Mahathir lagi, sebab itulah dari awal lagi beliau menolak untuk bekerjasama dengan Umno secara "en-bloc".

Mengulas lanjut, Mahathir berkata sama ada Muhyiddin memiliki majoriti ataupun tidak hanya boleh dibuktikan melalui undian di Parlimen.

"Kerana itu, sejak dari perisytiharan Muhyiddin sebagai perdana menteri, saya telah meminta supaya satu undi tidak percaya dapat diusulkan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jika Muhyiddin berjaya mengalahkan undi tidak percaya itu maka selepas itu tidak timbul lagi isu dia tidak dapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Jika dia kalah, ahli-ahli Dewan Rakyat berpeluang mengusulkan calon perdana menteri yang baru dan sesiapa yang mendapat majoriti akan dapat menerajui kerajaan tanpa terlalu banyak tekanan berkaitan legitimasi," katanya lagi.

Jika perkara itu dapat dilakukan kata Mahathir, ia pasti dapat mengelak daripada mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika wabak Covid-19 belum berakhir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS