mk-logo
Berita
Menteri galak rakyat Kelantan manfaatkan air hujan
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 10:27 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Kelantan antara negeri yang boleh memanfaatkan air hujan untuk kegunaan harian terutama ketika berdepan masalah bekalan air tidak mencukupi.

Kata Tuan Ibrahim tidak seperti negeri lain Kelantan tidak terlampau terdedah dengan sektor industri justeru kualiti air hujannya lebih baik.

“Kelantan antaranya boleh manfaat air hujan sebab di negeri ini tidak banyak industri dan kurang pencemaran udara,” katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Timbalan presiden PAS itu berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan projek rawatan air komuniti Parlimen Kubang Kerian di Masjid Mukim Seterpa Banggu, semalam.

Air bersih merupakan antara isu kemudahan asas yang membelenggu kerajaan Kelantan sejak sekian lama.

Selain tiada bekalan air yang memadai, air kotor - diperolok sebagai teh tarik dalam paip oleh pengkritik - juga menjadi isu yang banyak dibangkitkan oleh orang ramai.


Baca Kerana isu air, Amin jenuh dilabel macam-macam


Ia menjadi lebih 'panas' apabila ada pemimpin PAS mengkritik kerajaan Selangor semasa berlaku gangguan bekalan air baru-baru ini.

Ia mengundang kecaman ke atas PAS pula dan parti itu dikritik kerana masalah air di negeri yang mereka tadbir sejak 1990 dianggap lebih kronik.

Personaliti TV dan pengacara terkenal, Amin Idris, kemudian menjemput menteri besar Selangor, Amirudin Shari, dan Kelantan, Ahmad Yakob, untuk membincangkan isu berkenaan. Namun hanya Amirudin menerima pelawaan berkenaan.

Amin pula diserang dengan pelbagai kritikan dan label oleh penyokong PAS ekoran tindakannya itu.

Tuan Ibrahim berkata sebenarnya air hujan boleh dimanfaatkan kerana ia "bagus" kecuali di kawasan perindustrian.

“Sebenarnya kalau boleh kita hendak manfaatkan air hujan sebab airnya bagus, cuma di kawasan industri, air lebih terdedah udara tercemar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS