Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air pasang besar diramal landa 5 daerah di S'gor
Diterbitkan:  Sep 3, 2020 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah sehingga 5.8 meter diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula bulan ini hingga November depan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) dalam kenyataan memaklumkan, fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada tarikh-tarikh tertentu iaitu 19 dan 20 Sept, 17 hingga 19 Okt selain 15 dan 16 Nov.

Menurut kenyataan itu, lima daerah terlibat adalah Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, yang melibatkan 51 kawasan dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya fenomena itu disertai hujan lebat dan angin kencang.

“Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Justeru, bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir, UPBN bersedia untuk membuka 21 pusat pemindahan bagi memindahkan mangsa sekiranya ada.

Antara pusat pemindahan yang disediakan adalah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Sepang; Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang, Kampung Kundang di Kuala Langat; Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang dan Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di Klang; Sekolah Kebangsaan Asam Jawa dan Dewan Orang Ramai Jeram di Kuala Selangor serta Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS