mk-logo
Berita
300 pekebun setuju skim pengesahan pendudukan, kata firma durian
Diterbitkan:  Sep 2, 2020 12:53 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Pengurusan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) menafikan dakwaan bahawa tiada pekebun yang menyokong skim pengesahan pendudukan tanah yang diuruskan syarikat itu.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, RPDR-PKPP berkata ketika ini kira-kira 300 petani telah mendaftar dengan syarikat berkenaan.

“133 orang daripadanya telah membuat pengesahan dan sebahagiannya telah membayar Wang Perolehan sebanyak RM1,000 seekar (Sehingga RM100,000 bagi setiap pemohon yang melebihi 10 ekar tanah ,” katanya.

"Baki Wang Perolehan berdasarkan keputusan akhir juruukur berlesen hanya perlu dibayar setelah menandatangani perjanjian akhir dengan RPDR-PKPP," katanya.


Kenyataan penuh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd


Syarikat itu berkata pembayaran Wang Perolehan adalah mengikut ketetapan kerajaan negeri Pahang.

Jelas kenyataan itu, isu levi RM20,000 seekar yang didakwa terlampau tinggi tidak timbul kerana jumlah yang ditetapkan merupakan jumlah siling maksimum yang akan diterima RPDR-PKPP.

“Bayaran tersebut akan dikeluarkan Royal Pahang Durian Export Sdn Bhd iaitu syarikat perdagangan. Justeru, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pekebun gagal memenuhi sasaran pengeluaran seperti dalam terma.

“Jika pekebun hanya menghasilkan 1,000 kilogram seekar atau kurang, RPDR-PKPP akan menerima RM10,000 seekar atau kurang.

“Bagaimanapun, skim pengesahan RPDR-PKPP mempunyai tugas memantau dan memastikan pekebun tidak melakukan pencerobohan berpanjangan,” jelasnya.

Selain itu, RPDR-PKPP juga turut mempersoalkan dakwaan bahawa syarikat terbabit mempunyai prestasi kewangan yang lemah.

Menurut kenyataan tersebut, kelemahan prestasi kewangan yang didakwa sebenarnya merujuk kepada Royal Pahang Durian Produce Sdn Bhd (RPDP) iaitu pemilik ladang durian seluas 400 hektar di Tras, Raub.

“Liabiliti yang ditunjukkan adalah jumlah hutang kepada pemegang saham yang telah menyuntik dana persendirian kepada syarikat sebagai pinjaman dengan tempoh matang selama enam tahun. Justeru, syarikat berkenaan masih belum mempunyai hasil jualan dan pendapatan,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, katanya, RPDP menjangkakan memperoleh pendapatan pertama pada tahun 2022.

“Pelaburan pemegang saham jelas mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, malah RPDP telah diberikan status pengecualian cukai selama 10 tahun oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2019,” katanya.

Berhubung kadar sewaan RM6,000 per ekar seperti yang didakwa Save Musang King Alliance (Samka), RPDR-PKPP menegaskan bahawa ia bayaran satu kali sahaja bagi tahun 2020.

“Bayaran itu terpakai untuk tanaman durian matang pada kiraan 30 pokok per ekar. Sebagai balasan, pekebun dibenar memasarkan durian mereka secara terus di pasaran terbuka sehingga 31 Mei 2021.

“Keperluan menjual durian kepada Royal Pahang Durian Export Sdn Bhd berkuat kuasa bermula 1 Jun 2021.

“Bagi meringankan beban kewangan pekebun, RPDR-PKPP bersetuju dengan kaedah bayaran ansuran sama rata sebanyak tiga kali pada September dan Disember 2020 serta Mac 2021,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya juga turut menafikan dakwaan kutipan levi sebanyak RM20,000 per ekar.

"RM20,000 per ekar ini berdasarkan perkiraan kami (RM10 per kg x 2.000 kg). Tidak ada penalti jika petani tidak memenuhi sasaran tanam seperti yang ditetapkan.

Contohnya, jika petani hanya dapat menghasilkan 1,000kg atau kurang per ekar, RPDR-PKPP berpotensi menerima serendah RM10,000 per ekar atau kurang.

"Sebagai syarikat yang mengendalikan skim tersebut, RPDR-PKPP akan memastikan petani tidak melakukan pencerobohan, mencegah kerosakan lingkungan dan mematuhi syarat Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk pensijilan," katanya.

RPDR-PKPP dalam kenyataan itu juga berkata harga yang dicadangkan sebanyak RM30 per kg untuk Gred A Musang King adalah wajar dan berdasarkan perkiraan petani yang memiliki tanah seluas 10 ekar, hasil kasar minimumnya adalah berdasarkan 2,000 kg per ekar untuk kelas A Musang King dijangka mencecah RM600,000.

MB Pahang: Kerajaan negeri tak akan berkompromi

Semalam Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya akan menangguhkan buat sementara waktu semua tindakan bagi menguatkuasa notis pengosongan tanah terhadap petani durian di Raub.

Ini jelas beliau selepas Mahkamah Tinggi Kuantan pada 28 Ogos lalu membenarkan perintah pergantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, Wan Rosdy memberi amaran bahawa dia tidak akan berkompromi dengan petani yang menduduki tanah kerajaan secara haram.

Mahkamah Tinggi Kuantan akan mendengar perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 28 Oktober nanti.

Pertikaian timbul apabila Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR) mengadakan usaha sama dan kini menuntut kembali ribuan ekar tanah daripada petani yang meneroka tanah secara haram.

Seramai 111 pekebun kemudian memfailkan permohonan ke mahkamah bagi menyemak arahan kerajaan negeri yang menggesa mereka mengosongkan tanah berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kuantan akan mendengar perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 28 Oktober nanti. Ini bermaksud pekebun durian boleh memulakan operasi ladang mereka buat sementara waktu tanpa campur tangan pihak berkuasa negeri selama dua bulan bermula tarikh ketetapan arahan mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS