Polis telah merakam keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan beberapa saksi berhubung kegagalan menteri itu mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada Julai lepas.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata keterangan Mohd Khairuddin diambil pada 8.30 malam tadi di Bukit Aman bersama beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
Menurutnya proses berkenaan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ) Bukit Aman selesai kira-kira 11.30 malam tadi.
“Kita sudah merakam percakapan beliau dan beberapa saksi lain. Jika perlu kita akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata setakat ini pihaknya menerima 27 laporan polis dari seluruh negara berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata isu mengenai Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.
Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilaporkan mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.
- Bernama