Seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja, mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan kegiatan rasuah dan sindiket pemalsuan dokumen di KLIA.
Insiden ini terbongkar apabila seorang pegawai imigresen lain menganggap tindakan rakan setugasnya yang tidur bukan pada waktu rehat sebagai mencurigakan. Pada laporan polis bertarikh 7 Januari 2025, pegawai itu berkata dia telah diberitahu mengenai seorang pegawai yang tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2.
"Memandangkan waktu itu bukan waktu rehat pegawai dan telah menghampiri waktu pertukaran syif iaitu pada jam 7.30 pagi, saya bertindak pergi mengejutkan pegawai itu.
"Setibanya saya di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2, saya dapati pegawai berkenaan baring di atas kerusi dengan berpakaian seragam lengkap imigresen.

"Oleh kerana baju seragam tidak dipakai dengan baik, saya dapati terdapat buku berbentuk pasport yang diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.
“Saya bertindak mengejutkan pegawai itu dan melakukan pemeriksaan awal.
"Hasil pemeriksaan, saya dapati terdapat 12 pasport pelbagai negara diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.
"Saya kemudian mengambil pasport tersebut dan lapor perkara ini kepada Ketua Imigresen Terminal 2," katanya pada laporan polis tersebut.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan laporan tersebut.
"Kes telah dirujuk untuk tindakan lanjut Jabatan Imigresen," katanya.
Dah ditukar, belum lapor diri
Bagaimanapun, sumber dalaman Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberitahu Malaysiakini pegawai itu telah dipindahkan ke Depoh KLIA.
Namun, sumber berkata pegawai itu masih belum melaporkan diri di tempat tugas barunya.
"Pegawai ini sudah kena tukar ke Depoh KLIA tapi sehingga sekarang masih tidak hadir bertugas," kata sumber.

Lebih mengejutkan, sumber mendakwa pegawai terbabit masih aktif menjalankan kegiatan 'pasport fly' – satu sindiket memanipulasi rekod imigresen.
"Dia masih menjalankan aktiviti passport ‘fly’ dengan ambil pasport daripada ejen kemudian memberi kepada pegawai-pegawai imigresen di KLIA untuk dimasukkan ke dalam sistem dan dicop.
"Dia ambil sekitar 30 pasport setiap hari daripada ejen Pakistan dan setiap pasport 'fly' dibayar RM1,400," dakwa sumber imigresen dari Putrajaya.
Sindiket ‘fly’ terus operasi?
‘Fly’ merujuk kepada sindiket mencuci status pelanggaran imigresen tinggal lebih masa atau senarai hitam dengan menggunakan cop palsu keluar masuk negara.
Sebelum ini, pegawai imigresen akan membawa cop keluar secara rahsia ke lokasi tertentu untuk dicop pada pasport yang dibawa oleh ejen sebelum menerima bayaran.
Namun kini, sindiket didakwa menggunakan pegawai imigresen yang membawa sendiri pasport ejen ke kaunter untuk dicop secara rasmi sebelum dikembalikan kepada ejen.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Zakaria Shaaban (gambar bawah) untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu ini dan masih menunggu penjelasan pihaknya.

Mengulas isu ini, seorang bekas pegawai imigresen KLIA mendakwa lapangan terbang itu sudah lama dikaitkan dengan aktiviti sindiket haram.
"Rasuah dan KLIA tidak terpisah. Malah, saya boleh katakan hampir setiap hari akan ada pelbagai sindiket seperti sindiket warga asing, penyeludupan emas dan sebagainya.
"KLIA tidak asing bagi sindiket warga asing dan rasuah.
“Walaupun kerajaan dan pihak penguat kuasa seperti SPRM telah mengambil pelbagai tindakan untuk membanteras rasuah, masih gagal," katanya kepada Malaysiakini dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Menurut bekas pegawai yang berpengalaman lebih dua dekad di KLIA dan lapangan terbang lain, terdapat dua faktor utama mengapa rasuah sukar dibendung di KLIA.
"Pertama, pegawai kerajaan tidak takut dengan hukuman. Kebanyakan masa, pegawai yang disabit bersalah hanya dikenakan tindakan tata tertib iaitu dipindah ke jabatan lain.
"Selain itu, pendapatan yang kurang kepada kakitangan kerajaan. Cuba bayangkan, apakah kebolehan seorang kakitangan imigresen yang berpangkat rendah selepas dia bersara?
"Satu-satunya perkara dia tahu adalah imigresen. Dan sudah pasti dia akan cuba mencari wang dengan menjadi orang tengah," dakwanya.