Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tabung Haji kini ada aset RM78b, tak dikuasai bukan Islam
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 8:52 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

PARLIMEN | Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) - yang dikecam teruk serta didakwa dikuasai orang bukan Islam semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan - kini mencatat lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin laporan prestasi Tabung Haji pada setengah tahun pertama 2020 menunjukkan aset yang dimiliki agensi itu ialah sebanyak RM78.0 bilion.

"Kedudukan terkini aset Tabung Haji pada 30 Jun seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78.0 bilion, dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin berkata demikian sebagai menjawab soalah Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang meminta perdana menteri menyatakan kedudukan aset terkini Tabung Haji.

"Adakah benar kerajaan terdahulu (PH) telah menjual banyak aset Tabung Haji dan membiarkan Tabung Haji dikuasai oleh orang bukan Islam?" tanya beliau.

Untuk rekod selepas menjadi kerajaan PH giat melakukan penstrukturan semula Tabung Haji selepas mendapati wujud ada beberapa isu semasa ditadbir BN.

Misalnya mengenai pembayaran dividen yang sepatutnya dibuat hanya jika ia mencatat keuntungan dan asetnya melebihi liabiliti.

Pada Julai 2018, Jabatan Audit Negara melaporkan aset Tabung Haji adalah lebih rendah berbanding liabiliti sebanyak RM4.1 bilion sehingga memerlukan pelan pemulihan semula.

Antara yang kuat mengecam kerajaan sebagai "jahat" ketika itu ialah ulama PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani, yang turut memberikan cadangan bagaimana Tabung Haji patut dikelola.

“Ni tengok bagaimana jahatnya yang dilakukan ini. Yang tanggung ini, kamu kena tanggung sampai di akhirat Allah SWT. Jangan main-main... harta orang Islam kan ni?

“[...] Yang ni, kalau orang sebut, sampai masuk dalam kubur orang sebut. Orang sebut sampai masuk dalam kubur,” katanya dalam satu rakaman ceramah yang disiarkan di saluran YouTubenya. 

Pembangkang ketika itu juga mendakwa Tabung Haji sudah dikuasai bukan Islam - merujuk kepada Lim Guan Eng yang menjadi menteri kewangan PH.

Pada Feb lalu pula ada pihak menyebarkan gambar kunjungan hormat dan sesi penerangan Mujahid mengenai gagasan Rahmatan lil Alamin ke atas Lim di pejabatnya.

Gambar itu kemudian didakwa kononnya menjadi bukti Lim mempengerusikan mesyuarat berkaitan Tabung Haji.

Muhyiddin berkata selaras dengan perlaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, aset-aset yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

"Oleh yang demikian, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS