Malaysia akan memanfaatkan pasaran hutang dengan terbitan "Sukuk Prihatin" berjumlah RM500 juta pada suku ketiga tahun ini untuk membiayai antara lainnya perusahaan mikro dan geran penyelidikan bagi penyakit berjangkit.
Tema Sukuk itu adalah “Daripada Rakyat, Kepada Rakyat”.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) jangka pendek di Kuala Lumpur, hari ini, berkata terbitan instrumen Hutang Islam itu adalah bagi membolehkan rakyat menyertai kerajaan dalam menyokong langkah-langkah pemulihan pasca pandemik COVID-19.
"Dana yang terkumpul ini akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro terutamanya usahawan wanita, penambahbaikan liputan internet jalur lebar di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan geran penyelidikan penyakit berjangkit” katanya.
Terbitan itu akan dilakukan oleh Kementerian Kewangan.
- Bernama