Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertemuan Zahid, Najib bincang PRU15 dan PRK Chini - Sumber

Pertemuan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dua hari lalu membincangkan persiapan pilihan raya umum ke-15 dan pilihan raya kecil Dun Chini.

Menurut sumber parti itu, ia susulan kemelut politik yang tidak berkesudahan antara Putrajaya dan pengerusi bersatu yang dipertikaikan jawatannya, Dr Mahathir Mohamad serta Pakatan Harapan (PH).

"Pertemuan pada malam itu adalah pertemuan biasa, tapi banyak berbincang mengenai hal ehwal parti dan persiapan PRU15.

"Persiapan PRU15 memang diberi perhatian serius memandangkan keadaan politik yang tidak stabil ketika ini.

"Perbincangan menjurus kepada kesediaan untuk memasuki gelanggang sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selain itu jelas sumber lagi, perbincangan juga turut membabitkan PRK Dun Chini yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Semalam, presiden Umno itu memberi isyarat partinya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 di tengah-tengah keadaan politik negara yang tidak stabil.

Kesediaan itu dinyatakan selepas menerima kunjungan Najib di kediamannya malam kelmarin.

"Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?" tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Kenyataan itu terbit di saat kemelut peringkat Persekutuan yang masih berterusan, dengan PH, Mahathir dan Warisan mendakwa memiliki majoriti untuk merebut kembali kuasa daripada Perikatan Nasional (PN).

Mengulas kenyataan Zahid selepas itu, Najib menjelaskan BN sedia menghadapi PRU15 jika Parlimen dibubarkan bagi mengembalikan kestabilan politik.

Pengerusi lembaga penasihat BN itu, berkata parti itu konsisten menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga PRU15 akan datang.

Isu calon PRK Chini turut dibincangkan

Dalam pada itu, sumber berkata perbincangan mengenai PRK Dun Chini juga turut diberi tumpuan memandangkan Najib ketua bahagian Umno Pekan.

Jelas sumber lagi, isu calon turut dibincangkan dalam pertemuan itu dan beberapa nama dicadangkan untuk diangkat sebagai calon BN.

"Beberapa nama calon bagi PRK Dun Chini dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk anak Najib iaitu Mohd Nizar.

"Sama ada anak Najib atau siapa yang akan dipilih nanti itu akan diputuskan pucuk pimpinan Umno dan BN," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS