ULASAN l Baru-baru ini, sekeping gambar membabitkan pertemuan presiden-presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN) Umno. PAS, Bersatu, Warisan dan GPS tersebar di media sosial.
Mengundang persoalan, pertemuan presiden-presiden parti itu bersama bekas perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad dibuat tanpa penyertaan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Gambar itu dikatakan permulaan kepada episod pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN.
Prinsipnya sangat jelas, ia membuktikan bahawa Anwar tiada dalam radar atau agenda untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan seperti yang dicanangkan beliau sebelum ini.
Bergantung kepada DAP, Amanah
Nampaknya, usaha Anwar mendaki tangga Putrajaya bagi menduduki kerusi perdana menteri semakin berliku. Harapan Anwar kini hanya kepada DAP dan Amanah sahaja.
Sebenarnya, peluang Anwar menjadi perdana menteri terlepas beberapa kali ketika ianya menghampiri tangga terakhir. Tanpa mengira tragedi 1998, Anwar juga berpeluang menjadi perdana menteri pada tahun 2013.
Pada masa itu, ada usaha "rekonsiliasi" antara Najib Razak-Anwar selepas keputusan PRU-13 menggugat kerajaan BN bilamana Anwar dan Pakatan Rakyat pada masa itu memenangi majoriti undi popular 50.9 peratus.
Tetapi tewas kepada BN apabila pakatan itu hanya berjaya memenangi 90 kerusi meskipun BN hanya memperoleh undi popular sekitar 47.4 peratus.
Ketika itu, kerajaan BN dan Najib telah ditekan dari dalam dan luar negara, termasuklah perhimpunan besar-besaran "Blackout 505".
Dalam usaha rekonsiliasi itu, Anwar sepatutnya menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya akan menjadi perdana menteri pada masa yang ditentukan. Manakala beberapa pemimpin PKR akan menjadi menteri penuh.
Namun ia gagal kerana Anwar dikatakan menolak rekonsiliasi itu dan masih yakin dengan jumlah majoriti undi popular boleh menjelmakannya sebagai perdana menteri.
Anwar mungkin terlupa, sistem pilihan raya di Malaysia adalah berdasarkan majoriti mudah dan sistem perwakilan kawasan yang telah digunakan sejak pilihan raya pertama pada tahun 1959.
Manakala, disebut bahawa di pihak Najib sudah ada persetujuan kerana Najib lebih mengutamakan keamanan rakyat dan keselamatan negara berkekalan.
Setahu saya Najib tidak ada agenda menghalang cita-cita Anwar. Ketika Najib sebagai perdana menteri, tidak ada gerakan dan arahan daripada Najib untuk menghalang kebebasan Anwar berpolitik.
Sejak dahulu lagi, saya tidak nampak jalan Anwar akan menjadi perdana menteri jika masih "membuntuti" di belakang Dr Mahathir Mohamad.
Saya sangat hairan kenapa Anwar tidak memilih jalannya sendiri? Kenapa terlalu bergantung kepada Mahathir sedangkan Anwar memiliki kekuatan tersendiri ?
Jika saya menjadi penasihat politik Anwar, saya akan minta Anwar bekerjasama dengan Najib.
Anwar pun tahu, semasa di dalam penjara, Najib banyak mempermudahkannya sebagaimana dinyatakannya sebelum ini.
Bukan rundingan di hotel
Berbalik kepada Kerajaan PN hari ini lebih kuat kerana ia telah melalui proses dengan penuh teliti oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, bukan rundingan di sebuah hotel atau di sebuah rumah tertentu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga di kedudukan kuat kerana menerima dokongan daripada Umno, PAS dan GPS Sarawak. Mungkin juga daripada sesetengah ahli parlimen daripada PKR ?
Hanya Yang di-Pertuan Agong mengetahui jumlah sebenar ahli-ahli parlimen yang mengikrarkan sokongan kepada Muhyiddin sebaga perdana menteri kerana baginda bertemu setiap seorang daripada mereka.
Hanya Agong yang tahu
Di atas kertas parti-parti politik masing-masing menunjuk angka mereka, ada menunjukkan kononnya mendapat 114, ada kata 129, siapa tahu mungkin Muhyiddin mendapat lebih 130 sokongan. Hanya Yang di-Pertuan Agong yang tahu.
Usaha mengumpul angka baru sangat bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Dewan Rakyat baru-baru ini supaya jangan lagi mengheret rakyat ke dalam kancah politik merebut jawatan perdana menteri.
Keutamaan sekarang ialah membantu rakyat menghadapi Covid-19, bukannya menukar perdana menteri.
Jika kemelut merebut jawatan perdana menteri masih berlanjutan, saya cadang kita kembali kepada demokrasi. Bubar Dewan Rakyat.
Kemelut ini menjadikan negara kita kelihatan bobrok dan rakyat rimas. Sudah-sudahlah berpolitik, sekarang masa untuk membangunkan negara.
Fikirkan nasib rakyat yang mungkin berdepan kesukaran pasca Covid-19 lebih utama berbanding memikirkan kerusi empuk di Putrajaya.
DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI ialah penganalisis politik kerajaan juga merupakan penceramah Dasar-Dasar Kerajaan dalam bidang Kenegaraan, Keselamatan & Patriotik.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.