Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembekuan semua permohonan baru untuk lesen minuman keras berkuatkuasa serta merta.
"Dimaklumkan bahawa semua permohonan baru lesen minuman keras dibekukan serta merta.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras tanpa lesen," kata jabatan perlesenan dan pembangunan penjaja, DBKL dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya sedia menimbang cadangan untuk mengkaji semula undang-undang melibatkan penjualan arak ekoran kebelakangan ini banyak kemalangan jalan raya berlaku membabitkan pemandu mabuk.
Walau bagaimanapun, katanya, keputusan itu perlu dibuat secara teliti kerana ia melibatkan jangka masa panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.
"Bidang kuasa panduan ia termasuk dalam bidang PBT juga, kita kena melihat statistik (secara keseluruhan) melibatkan kemalangan (jalan raya) disebabkan oleh arak ini.
"Kami tidak boleh membuta tuli membuat satu undang-undang berdasarkan ad hoc, ...kerajaan harus memikirkan masa depan," katanya.
Zuraida berkata pada masa ini, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang meneliti beberapa perkara berkaitan isu penjualan arak yang perlu ditangani dari segi undang-undang penguatkuasaan dan hukuman yang perlu dikaji semula.
Baru-baru ini, semakin banyak berlaku kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.